
SEBUAH flotila membawa aktivis dan bantuan kemanusiaan ke Gaza berlepas dari pelabuhan Barcelona lewat malam Isnin, selepas tertangguh akibat cuaca buruk.
Penganjur, Global Sumud Flotilla berkata, kumpulan pertama kapal berjaya belayar apabila keadaan cuaca kembali baik, sambil membawa mesej solidariti antarabangsa terhadap Palestin.
“Lebih banyak kapal akan menyertai pelayaran dari seluruh Mediterranean. Mesej dari Barcelona jelas: dunia sudah cukup, Palestin tidak keseorangan,” kata kenyataan itu di Instagram, lapor Anadolu.
Seramai 200 aktivis, ahli politik dan artis dari 44 negara menyertai misi berkenaan, antaranya aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg; pelakon Ireland, Liam Cunningham; pelakon Sepanyol, Eduardo Fernandez dan bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau.
Fernandez menyifatkan misi itu sebagai tindakan kemanusiaan menentang kebiadaban.
“Setiap kapal ke Gaza adalah jeritan demi maruah manusia. Diam bererti bersekongkol, dan diam juga membunuh,” katanya.
Flotila berkenaan dijangka disertai lebih banyak kapal dari Itali dan Tunisia, menjadikan keseluruhan 60 kapal dengan lebih 500 peserta. Mereka menyasarkan untuk tiba di Gaza pertengahan September.
Thunberg pula menegaskan sekatan Israel ke atas Gaza mesti ditamatkan segera. Katanya, semakin ramai masyarakat dunia sedar tentang pembunuhan beramai-ramai yang berlaku, namun ahli politik masih memilih untuk berdiam diri.
Tahun ini, flotila lain yang disertainya pernah dipintas tentera Israel sebelum kapal dirampas dan kru diusir.






