
KOTA KINABALU – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan seorang lelaki yang disyaki bergiat aktif dalam pengedaran dadah di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, pada 14 Ogos 2025.
“Hasil daripada tangkapan tersebut, pihak polis berjaya menyita 19 kenderaan pelbagai jenis termasuk beberapa kereta mewah.
“Selain itu, wang tunai pelbagai jenis yang berjumlah RM354,540.
“Penahanan ini membawa kepada sitaan harta yang paling tinggi dalam tahun ini, iaitu sebanyak RM2,177,890,” katanya.
Beliau berkata, semasa sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik,Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, pada Selasa.
Jelasnya, suspek mempunyai rekod lampau di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK) yang dijatuhkan hukuman tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Simpang Renggam antara tahun 2016 hingga 2018.
“Sepanjang tahun ini seramai 33 orang pengedar dadah telah ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1953 (LLPK) di Sabah.
“JSJN Sabah akan terus mempergiat usaha memerangi sindiket dadah yang menjadi ancaman kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambah Jauteh, kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dengan pengedaran dadah, memiliki, mengedar dan melindungi aktiviti pengedaran kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
“Saya menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” ujarnya.


