
TAWAU – Walaupun kira-kira 10,000 peserta berhimpun dengan laungan ‘Justice For Zara” sebagai tanda solidariti, Jalur Gemilang dan bendera Sabah turut berkibar megah di lokasi perhimpunan pada Jumaat melambangkan semangat perpaduan dan kebangsaan yang tidak pernah luntur dalam diri setiap rakyat Malaysia.
Malah sebelum himpunan dimulakan, nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku turut didendangkan beramai-ramai sekali gus menyemarakkan lagi rasa cinta terhadap tanah air pada Himpunan Solidariti Arwah Zara Qairina Vol 2.0 di pekarangan premis Majlis Perbandaran Tawau tersebut.
Turut dikibarkan bendera Palestin selain plakad dan kain rentang yang membawa mesej sokongan sebagai menzahirkan solidariti mereka yang hadir terhadap keluarga Allayarhamah Zara Qairina Mahathir.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) yang juga penasihat himpunan, Datuk Mohammad Jeffrey Rosman berkata, kehadiran ramai membuktikan sokongan penuh seluruh masyarakat termasuk dari daerah berhampiran yang menuntut keadilan.
“Tidak boleh berhenti bersuara, Zara ibarat anak dan cucu kita semua jadi bagi saya pengadilan dia perlu diteruskan sehingga kita mendapat sesuatu keputusan yang konkrit dan tuntas.
“Ini adalah ujian untuk semua rakyat di dunia ini dan untuk kita memastikan agar Akta Buli ini dapat di ubah sekali lagi yang lebih keras (hukuman berat) supaya dapat melindungi anak-anak cucu kita pada masa kini dan akan datang,” katanya kepada media para himpunan berkenaan, pada Jumaat.

Bercakap kepada The Malaysia Press, seorang peserta himpunan, Yenny Azrianti, 30-an, berharap agar inkues Zara Qairina berjalan lancar sekali gus memberi petunjuk kepada kejadian sebenar.
“Kami hadir sebagai tanda sokongan bahawa perlunya keadilan untuk adik Zara dan ibunya.
“Kami tidak akan diam selagi perkara ini tidak selesai dan kami harap pihak mahkamah sendiri juga lebih bijaksana dan telus dalam membuat keputusan nanti,” katanya.
Pada himpunan itu, lebih 50 kenderaan persendirian termasuk motosikal dan lori yang membawa kain rentang berarak di kawasan tepi lokasi perhimpunan.




