RUU PSB 2025: Undang-undang lindungi majoriti, bukan rampas hak rakyat

KEBELAKANGAN ini, pelbagai pihak cuba menimbulkan keresahan kononnya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 akan menjadi senjata kerajaan dan pemaju untuk merampas harta rakyat. Malah, ada NGO yang mendakwa ia bakal membuka ruang kepada ‘undang-undang rimba’ di bandar.

Hakikatnya, tuduhan ini tidak tepat dan hanya cuba menakut-nakutkan rakyat tanpa memahami isi sebenar undang-undang yang dibentangkan di Parlimen minggu lalu.

PSB 2025 diperkenalkan kerana selama ini banyak projek pembangunan semula bandar gagal dilaksanakan hanya kerana segelintir kecil pihak enggan bekerjasama, walaupun majoriti penduduk setuju. Dengan ambang persetujuan 75 peratus, suara besar komuniti akan dihormati, sementara hak minoriti tetap dilindungi dengan saluran rayuan di mahkamah.

Ini bermakna, bukan semua orang boleh dipaksa – sebaliknya, keputusan bersama yang lebih adil kepada majoriti penduduk diutamakan.

Pampasan adil dijamin undang-undang

Kerajaan menolak dakwaan bahawa pemilik akan diusir tanpa belas kasihan. Sebaliknya, undang-undang jelas menyebut pampasan wajib dibayar mengikut nilai pasaran semasa, malah pemilik berhak membuat rayuan jika tidak berpuas hati.

Dengan jaminan ini, rakyat bukan sahaja tidak rugi, malah berpeluang mendapat pulangan lebih baik hasil pembangunan semula yang meningkatkan nilai hartanah kawasan mereka.

Pembangunan demi rakyat, bukan pemaju

Mereka yang menuduh PSB 2025 ‘pro-pemaju’ sengaja menutup mata terhadap realiti sebenar bandar-bandar lama. Bangunan usang, risiko kebakaran, banjir kilat dan infrastruktur lama adalah masalah sebenar yang dihadapi rakyat di bandar.

Pembangunan semula akan membawa manfaat jangka panjang: kediaman lebih selesa, kawasan lebih selamat, peluang ekonomi baharu, dan peningkatan nilai hartanah. Inilah masa depan bandar yang ingin diwariskan kepada generasi muda.

Kerajaan mendengar, bukan membuta tuli

Kerajaan MADANI tidak pernah menutup pintu dialog. Malah, maklum balas rakyat dan NGO akan terus diambil kira melalui jawatankuasa khas Parlimen. Jika ada projek yang menimbulkan masalah, kerajaan bersedia menilai semula dan menangguhkan pelaksanaan.

Ini bukti jelas kerajaan bukan keras kepala, sebaliknya mendengar keresahan rakyat dan mengambil langkah penyelesaian yang lebih inklusif.

RUU PSB 2025 bukan undang-undang zalim seperti digembar-gemburkan. Ia adalah instrumen keadilan sosial untuk memastikan pembangunan bandar berlaku secara tersusun, adil dan memanfaatkan majoriti rakyat.

Kerajaan MADANI percaya, hanya dengan keberanian membuat reformasi inilah bandar-bandar lama dapat dihidupkan kembali, hak rakyat dipelihara, dan Malaysia bergerak maju ke arah negara moden yang inklusif.

“Kene paham molek ura ning, jgn baharambang skali, kite nok bandor jadi comel dan pemilik tok dizalimi, jangan ikut dang skali jeng kreng kekgi.”

Related Posts

PN retak dari dalam: Kenyataan Bersatu dedah perebutan kuasa makin kritikal

KENYATAAN media rasmi Biro Politik Bersatu pada 24 Mei 2026 dilihat bukan lagi sekadar penjelasan terhadap kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tetapi menjadi petunjuk paling jelas bahawa…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Retorik ‘Bela Rakyat’ Pas Terengganu semakin tercabar dalam isu cukai pintu

SEJAK mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, kerajaan Pas Terengganu membina imej sebagai kerajaan yang kononnya paling memahami denyut nadi rakyat. Pelbagai slogan digunakan termasuk “membela rakyat”, “mengurangkan beban kos…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sinar harapan pesakit HIV: Rawatan moden kembalikan kualiti hidup, hentikan stigma   

Sinar harapan pesakit HIV: Rawatan moden kembalikan kualiti hidup, hentikan stigma   

Johor terima lebih RM600 juta perkukuh infrastruktur hadapi risiko banjir

Johor terima lebih RM600 juta perkukuh infrastruktur hadapi risiko banjir

UMNO Perlis mahu kemelut politik negeri dihentikan

UMNO Perlis mahu kemelut politik negeri dihentikan

Dokumentari Banjaran Nakawan tingkat kesedaran warisan Perlis

Dokumentari Banjaran Nakawan tingkat kesedaran warisan Perlis

18 ekor lembu korban disumbangkan ke Kampung, agensi

18 ekor lembu korban disumbangkan ke Kampung, agensi

Kerajaan Sabah galak wujud pusat autisme luar bandar, pedalaman

Kerajaan Sabah galak wujud pusat autisme luar bandar, pedalaman