PUTRAJAYA – Malaysia melakar sejarah dengan pelancaran bank dikuasakan kecerdasan buatan (AI) pertama di dunia, Ryt Bank – yang dibangunkan YTL Group dengan kerjasama Sea Limited.
Ryt Bank adalah satu langkah berani ke arah masa depan digital negara, menggabungkan inovasi AI bertaraf dunia dengan nilai, bahasa serta gaya hidup yang membentuk identiti Malaysia.
Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, syarikat itu membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai keupayaan mencipta dan membangunkan inovasi yang hebat.
“Dengan menggabungkan AI tempatan bersama nilai serta kepelbagaian masyarakat, kami membangunkan bank yang boleh dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia, bank menggunakan bahasa kita, memahami budaya kita, serta menetapkan piawaian baharu untuk pengalaman perbankan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan akses dalam aplikasi menggunakan Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin, Ryt Bank memastikan perbankan benar-benar inklusif.
Ia membolehkan setiap rakyat Malaysia mengurus kewangan dengan mudah dalam bahasa mereka fahami.
Nadi utama Ryt Bank ialah Ryt AI – pembantu perbankan pintar AI dikuasakan oleh ILMU – model bahasa besar pertama dibangunkan di Malaysia.
Ryt AI memahami bahasa digunakan dalam perbualan harian, sama ada dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, atau ‘Manglish’ dan mampu bertindak serta-merta terhadap keperluan perbankan harian.
Daripada membaca serta membayar bil, menjejak perbelanjaan hingga menerangkan asas kewangan dalam istilah mudah, Ryt AI menggabungkan kemudahan, kefasihan budaya dan keselamatan tahap perusahaan.
Antara ciri menarik pada bank AI ini adalah simpanan yang menyokong keperluan harian sambil membantu perancangan masa depan pengguna menerusi faedah sehingga empat peratus setahun, dibayar ke akaun setiap hari.
Sementara itu, kemudahan kredit untuk keperluan harian, Ryt PayLater menyediakan kredit segera sehingga RM1,499 sebagai permulaan, tanpa dokumen dan tiada caj lewat selain faedah sifar peratus jika bayaran penuh dibuat dalam bulan pertama.
Pengguna juga boleh menukar debit dan kredit serta-merta melalui aplikasi serta belanja di seluruh dunia, di mana Visa diterima.
Pelanggan boleh mendapatkan Kad Ryt edisi khas secara percuma untuk tempoh terhad.
Ryt Bank beroperasi dengan lesen rasmi Bank Negara Malaysia (BNM), dengan wang pengguna dilindungi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit.
Ciri keselamatan termaju Ryt Bank merangkumi log masuk biometrik, penyulitan berlapis serta amaran penipuan masa nyata.




