
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan dengan kes buli, sebagai senjata politik untuk menyerang pihak lain.
Menurut beliau, tindakan mempermainkan tragedi tersebut bagi tujuan menipu dan menghasut masyarakat merupakan perbuatan yang tidak boleh diterima.
“Orang itu (Zara) sudah terkorban, kemudian kita jadikan sebagai senjata politik untuk menikam orang lain. Kalau benar tidak mengapa, tetapi tidak boleh kita mainkan seolah-olah kematian seseorang itu untuk menipu dan menghasut sebegitu rupa,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Anwar tidak menolak kemungkinan wujud beberapa kelemahan dalam pengendalian kes berkenaan, khususnya dari segi proses siasatan dan kelewatan.
Namun, katanya, pihak berkuasa sedang berusaha mengatasinya dengan telus.
“Saya, TPM (Fadillah Yusof), TPM (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah mengeluarkan kenyataan. Kita juga telah mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi bagi memastikan siasatan dilaksanakan dengan telus,” jelasnya.
Mengulas mengenai isu buli, beliau menegaskan budaya tersebut mesti dihentikan kerana membawa kesan buruk terhadap masyarakat.
“Buli merupakan penderaan psikologi dan fizikal, sama ada di sekolah, universiti, pejabat mahupun kementerian. Perbuatan ini satu kebejatan yang merosakkan dan penghinaan terhadap seseorang, sama ada atas peribadi, warna kulit atau faktor lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti identiti seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah dalam kes kematian Zara Qairina.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan, hasil semakan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati individu tersebut bukan doktor pakar mahupun petugas kementerian, meskipun mendakwa hadir pada proses bedah siasat jenazah pada 10 Ogos lalu.






