
SANDAKAN – Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joachim Gunsalam menasihatkan ahli parti supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang bagi memecahbelahkan kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, hampir setiap hari ada perkara baharu dimainkan pihak lawan yang bertujuan meretakkan perpaduan antara PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
“Tiap-tiap hari ada sahaja yang keluar di media massa. Jadi jangan terus percaya. Rujuk kepada pucuk pimpinan iaitu Ketua Bahagian masing-masing.
“Ketua Bahagian pula, kalau tidak pasti, jangan sembarangan mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Tiga Bahagian PBS iaitu Lamag, Sukau dan Sekong di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Sabtu.
Joachim turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Bahagian PBS Lamag, Ali Latif Taha serta kepimpinan Sukau dan Sekong kerana berjaya menganjurkan mesyuarat berkenaan dengan baik.
Dalam pada itu, beliau menegaskan GRS akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka tidak lama lagi.
“Kalau bukan kerana sokongan PH dalam peristiwa ‘Langkah Kinabalu’ pada 2023, kita mungkin berada di pihak pembangkang ketika ini.
“Sebab itu saya minta semua ahli terus kekal bekerjasama dan berdoa agar perjalanan kita dipermudahkan demi memastikan GRS kekal menjadi kuasa politik dominan di Sabah,” katanya.




