
KERAJAAN memutuskan untuk tidak lagi meneruskan amalan kenaikan pangkat penjawat awam yang berasaskan tempoh pengalaman dan tahun perkhidmatan semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan pangkat selepas ini akan diberikan kepada penjawat awam berdasarkan prestasi dan kualiti perkhidmatan, meskipun tempoh perkhidmatan mereka kurang daripada 10 tahun.
“Penjawat awam yang benar-benar layak akan diberi ganjaran melalui kenaikan gaji lebih tinggi.
“Sebaliknya, segelintir kecil atau minoriti yang mengetepikan prinsip amalan bersih, cuai, dan malas tidak akan diberi kelayakan atau ganjaran setimpal.
“Saya harap seluruh penjawat awam menerima kenyataan ini. Tidak mungkin kerajaan akan meneruskan amalan lama yang secara automatik menaikkan pangkat selepas 10, 15 atau 20 tahun perkhidmatan. Itu tidak boleh lagi.
“Yang bekerja dan berkhidmat dengan baik akan dinaikkan walaupun belum cukup tempoh. Namun, jika lemah, malas, dan cuai walaupun sudah berkhidmat 20 tahun, peningkatan gaji tidak akan dijamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa penjawat awam perlu menampilkan semangat serta budaya kerja yang baharu bermula Isnin depan, selari dengan pelarasan gaji yang diumumkan kerajaan.
“Kita tidak mahu selepas tingkatkan gaji, rakyat masih pertikai mutu perkhidmatan. Mengapa masih ada yang perlu menunggu dua jam hanya untuk mendapatkan lesen? Perkara sebegini mesti berubah,” tegasnya.






