SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala Sultan Haji Ahmad buat kali kelapan berturut-turut selepas menewaskan Selangor FC 3-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
Pada aksi babak pertama, JDT membuka tirai jaringan seawal minit kedua melalui sepakan percuma Sameul Castillejo yang melorongkan bola kepada Jonathan Silva dan Jairo da Silva menewaskan penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Hafiz Mat Rowi.
Anak didik Katsuhito Kinoshi yang tertekan dengan jaringan skuad Harimau Selatan itu berusaha memecah benteng tuan rumah namun gerakan yang cuba dilakukan sering tersekat di jarak 35 meter berhampiran kotak penalti.
JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-39 selepas sepakan percuma Arif Aiman dari jarak 35 meter menyaksikan Kalamullah terpaksa melayangkan badan bagi menepis bola keluar ketika bola menuju tepat ke penjuru kanan gol.
Dalam aksi babak kedua, JDT menambah gol selepas bola sepakan sudut Arif Aiman tepat kepada Israfilov yang melonjak tinggi untuk menanduk bola masuk menewaskan Kalamullah.
Arif Aiman yang dikawal rapi sepanjang perlawanan mencetus kegembiraan lebih 30,000 penyokong JDT apabila meledak jaringan pada minit ke-72 selepas menerima bola umpanan Park Juen-hon.





