LOS ANGELES – Penyerang sensasi Korea Selatan, Son Heung-min sah menyertai Los Angeles FC (LAFC) selepas meninggalkan Tottenham Hotspur, sekali gus menamatkan karier selama 10 tahun di kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Kedua-dua kelab mengesahkan perpindahan itu semalam, dengan nilai dilaporkan sekitar AS$26.5 juta (RM124.2 juta) – menjadikannya perpindahan termahal dalam sejarah Major League Soccer (MLS), menurut laporan The Athletic.
Heung-min menyertai Tottenham dari Bayer Leverkusen pada tahun 2015 dan mencipta pelbagai kejayaan, termasuk membantu Spurs menjulang trofi pertama dalam 17 tahun apabila menewaskan Manchester United 1-0 dalam final Liga Europa pada Mei lalu.
“Anda sambut saya ke London Utara, anda saksikan saya membesar.
“Saya tak pernah bayangkan akan menjadi kapten pasukan ini, tapi saya sentiasa impikan untuk menang sesuatu buat anda.
“Kita menang Liga Europa dan anda semua memang layak. Terima kasih untuk segalanya,” kata Heung-min dalam video perpisahan dimuat naik untuk penyokong Spurs.
Heung-min meninggalkan Spurs dengan rekod 454 penampilan dan 173 gol, termasuk menjuarai Kasut Emas Liga Perdana Inggeris 2021-22.
Pemain berusia 33 tahun itu juga sudah meraih 134 kap antarabangsa bersama Korea Selatan.








