
KANGAR – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Gan Ay Ling mencadangkan agar pelaksanaan penstrukturan semula tarif air di negeri ini dilaksanakan secara bersasar dengan memberi keutamaan kepada kumpulan rentan seperti B40, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan itu berkata, penetapan kadar khas bagi kumpulan berkenaan perlu diambil kira memandangkan peningkatan kos sara hidup yang sedang ditanggung rakyat pada masa ini.
“Kita tidak menolak usaha penstrukturan semula tarif air secara total, tetapi ia hanya wajar jika disusuli dengan reformasi pengurusan Syarikat Air Perlis (SAP) dan pelaksanaan tarif bersasar,” katanya semasa membahaskan isu berkenaan dalam sidang DUN Perlis hari ini.
Tambah beliau, pelan tindakan komprehensif juga perlu dibentangkan oleh SAP bagi memastikan kadar air tidak berhasil (NRW) dapat dikurangkan ke bawah 30 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Selain itu, kerajaan negeri dan SAP perlu telus menjelaskan bagaimana dana tambahan hasil kenaikan tarif ini akan digunakan, dan sama ada audit bebas akan dilaksanakan terhadap syarikat itu.
“Di mana pelan penyelenggaraan jangka panjang dan pelaburan semula dalam infrastruktur bekalan air negeri ini?” soalnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pewartaan struktur baharu tarif air bagi pengguna domestik di seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan, berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Perlis merupakan antara negeri yang terlibat dengan kenaikan caj minimum daripada RM7.20 kepada RM8.80, iaitu peningkatan sebanyak RM1.60 sebulan bagi pengguna biasa.
Dalam masa sama, Ay Ling turut membawa suara rakyat mengenai isu pelaksanaan sistem parkir berpalang di negeri ini yang didakwa terus menimbulkan rungutan rakyat meskipun Kerajaan Negeri telah menangguhkan pelaksanaan itu selama enam bulan.
Katanya, berdasarkan satu tinjauan awam melibatkan lebih 300 responden, tahap penerimaan terhadap sistem berkenaan hanya berada antara 13 hingga 18 peratus sahaja.
“Rakyat melihat sistem parkir berpalang ini tidak sesuai dengan struktur bandar kecil seperti Perlis yang bergantung kepada aktiviti mikro dan ruang letak kereta yang sempit.
“Saya mencadangkan agar sistem ini diganti dengan alternatif digital tanpa palang serta dilaksanakan secara berperingkat melalui kajian rintis di lokasi strategik terlebih dahulu,” katanya.




