
SANDAKAN – Dua individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan (MyKad) dalam dua kes berasingan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Sandakan, pada Isnin.
JPN Sabah dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi berkata, dalam kes pertama, seorang wanita tempatan ditahan kerana disyaki memberi maklumat palsu sebagai penganjur dalam permohonan MyKad.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(h) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” menurut kenyataan tersebut.
“Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki warga Indonesia yang ditahan di lokasi sama kerana menggunakan sijil kelahiran milik orang lain bagi tujuan permohonan MyKad.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.
Sehubungan itu, JPN Sabah menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan maklumat bagi tujuan permohonan dokumen pengenalan diri.






