KEMAMAN – Sekolah-sekolah swasta yang menekankan pendidikan Islam wajar diangkat sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh gagasan Malaysia MADANI, kata Pengerusi Lembaga Pengelola SRI SMI Al-Amin Kemaman, Zameran Jusoh.
Menurut beliau, modul pendidikan Islam yang diterapkan di sekolah berkenaan sejak lebih tiga dekad lalu telah berjaya melahirkan generasi pelajar seimbang dari segi rohani dan jasmani, selari dengan hasrat kerajaan membina masyarakat berteraskan nilai MADANI.
“Modul yang dibangunkan oleh Al-Amin ini memberi penekanan kepada pembangunan modal insan yang holistik — merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi. Justeru, ia sangat sesuai untuk digembleng bersama Kementerian Pendidikan Malaysia demi merealisasikan visi dan misi Malaysia MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutupan Minggu STEM SRI Al-Amin Kemaman, yang berlangsung di Dewan Utama sekolah itu pada Ahad lalu.
Majlis penutupan disempurnakan Guru Besar SRI Al-Amin Kemaman, Fatin Nuwairah Bahari, yang turut meluahkan rasa bangga dengan sambutan positif terhadap penganjuran Minggu STEM tahun ini.
“Program kali ini berjaya menarik lebih ramai penyertaan, bukan sahaja daripada pelajar, tetapi juga ibu bapa serta warga komuniti sekitar. Diharapkan penyertaan pada tahun hadapan akan terus meningkat,” katanya.
Untuk rekod, SRI SMI Al-Amin Kemaman merupakan sebuah sekolah Islam swasta di bawah kelolaan Musleh Integrated Education Berhad, yang telah beroperasi lebih 30 tahun di daerah ini.
Penganjuran Minggu STEM merupakan acara tahunan sekolah yang bertujuan menyemai minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak di peringkat sekolah rendah lagi.