
HARGA telur ayam dijangka kekal stabil walaupun subsidi telur akan ditamatkan mulai Jumaat ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad memberi jaminan bahawa bekalan telur di pasaran adalah mencukupi dan tiada kenaikan harga dijangka dalam masa terdekat.
“InsyaAllah, bekalan semasa adalah mencukupi dan para pengeluar, pembekal serta pihak berkaitan sentiasa bekerjasama dengan kementerian melalui perbincangan berterusan.
“Mereka telah memberi jaminan bahawa telur akan terus tersedia di pasaran seperti biasa. Malah, bekalan kini semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 di Balai Berita Bangsar, hari ini.
Menurut Mohamad, keadaan ini adalah seiring dengan pengalaman ketika penamatan subsidi ayam sebelum ini.
“Ketika kita melaksanakan penyesuaian subsidi ayam dahulu, tiada kenaikan harga berlaku. Saya tidak menjangka sebarang kenaikan harga telur akan berlaku kali ini juga,” katanya.
Tambah beliau, sebarang kekurangan bekalan telur, khususnya di kawasan luar bandar, akan ditangani segera melalui campur tangan kerajaan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohamad memaklumkan bahawa ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja tidak menjejaskan bekalan beras negara.
“Situasi tersebut tidak membabitkan keseluruhan wilayah Thailand atau Kemboja. Setakat ini, tiada masalah berkaitan bekalan beras ke Malaysia,” katanya.
Terdahulu, pada 30 April lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan bahawa subsidi telur akan dihentikan bermula 1 Ogos 2025.
Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira komitmen industri untuk memastikan bekalan telur kekal stabil dan mencukupi selepas kos pengeluaran berada pada tahap yang lebih stabil.



