Kenaikan tarif 25 peratus, AS belum beri sebarang jawapan

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) masih belum memberi sebarang jawapan terhadap kenaikan tarif timbal balik yang telah dikenakan kepada Malaysia bermula Ogos depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia sudah membangkitkan berkenaan kenaikan itu kepada Wakil Perdagangan AS (USTR), namun pihak berkenaan juga tidak mempunyai jawapan.

“Ini kerana ia terpulang kepada Presiden AS (Donald Trump).

“Bukan Malaysia sahaja, Jepun pun tertanya-tanya kenapa negara itu juga dikenakan kenaikan satu peratus lagi (daripada tarif asal),” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MITI, pada Rabu.

Tengku Zafrul berkata demikian selepas wartawan mempersoalkan mengapa tarif timbal balik yang dikenakan ke atas Malaysia oleh AS itu semakin meningkat daripada 24 peratus kepada 25 peratus di sebalik usaha dan rundingan yang dilakukan negara untuk mendapatkan pengurangan tarif berkenaan sebelum ini.

Difahamkan, sejak AS mengumumkan kenaikan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia pada 2 April lalu, lebih 20 mesyuarat dan rundingan berlangsung antara wakil Malaysia dan USTR dalam usaha mendapatkan pengurangan tarif.

Malah, Tengku Zafrul sendiri turut mengetuai delegasi Malaysia ke Washington pada 18 Jun lalu, untuk mengetuai rundingan secara fizikal, dengan hasil yang disifatkan memberikan perkembangan positif.

Sementara itu, beliau menyifatkan kenaikan satu peratus berbanding tarif asal tersebut bukanlah satu angka yang besar jika dibandingkan tarif yang dikenakan AS ke atas negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Dalam masa sama, katanya, kenaikan itu juga hanya berkuat kuasa pada 1 Ogos ini yang mana Malaysia masih mempunyai ruang dan masa untuk melakukan rundingan bersama USTR bagi mendapatkan pengurangan.

“Namun, kita beri jaminan Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dalam aspek memastikan kedaulatan negara dilindungi dan rakyat tidak akan terkesan dalam rundingan yang akan diteruskan kelak.

“Perbincangan ini bukan sahaja mengenai tarif, tapi juga mengenai perbincangan non tarif iaitu mengenai undang-undang yang kita rasakan penting untuk negara dan yang kita tidak boleh berkompromi. Oleh itu, kita kena lihat isu ini dari segi keseluruhan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan, Malaysia kekal dengan hasrat untuk mendapatkan pengurangan daripada tarif 25 peratus sehingga ke tahap nilai lantai 10 peratus seperti yang dinikmati beberapa negara yang tidak terkesan dengan dasar baharu AS tersebut.

“Oleh itu, saya dengan pasukan akan terus berunding dengan AS, tetapi kena ada give and take (menang-menang) dalam rundingan ini. Kalau kita tidak bersetuju, kita kena bersedia untuk mengatakan kita tidak setuju, ada redline yang penting untuk kita pertahankan,” katanya.

Semalam, AS menyenaraikan Malaysia sebagai antara negara yang dikenakan tarif import sebanyak 25 susulan pengumuman terbaharu Trump, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam siri tindakan perdagangan terhadap beberapa negara rakan dagang utama Washington.

Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik ke platform Truth Social, Trump mengumumkan, kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini, melibatkan barangan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan dengan kadar berbeza dikenakan ke atas negara lain.

Related Posts

Pengguna tidak lagi gunakan BNPL membeli barangan bernilai tinggi

KUALA LUMPUR – Transaksi Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) yang kini banyak digunakan bagi perbelanjaan kecil, bukan lagi tertumpu pembelian barangan bernilai tinggi membuktikan kemudahan itu menjadi pilihan pengguna untuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Premier Sarawak puji usaha pemerkasaan MA63 jadi komitmen utama kerajaan MADANI

KUCHING – Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan dan komitmen berterusan untuk memastikan perancangan pembangunan di negara ini dilaksanakan dengan lebih seimbang. Premier…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Mustapha hormati pendirian Anthony Loke letak jawatan atas prinsip

  • By Ezmie
  • September 20, 2026
Mustapha hormati pendirian Anthony Loke letak jawatan atas prinsip

Denda Najib: Pas perlu jelaskan ‘keadilan’ yang dipertahankan

Denda Najib: Pas perlu jelaskan ‘keadilan’ yang dipertahankan

Brighton tewaskan Arsenal, lebur rekod penyandang juara EPL

Brighton tewaskan Arsenal, lebur rekod penyandang juara EPL

Program MADANI Kita jambatan penting kerajaan-rakyat – KP JKOM

Program MADANI Kita jambatan penting kerajaan-rakyat – KP JKOM

Pengampunan bersyarat Najib: Anthony lepas jawatan Menteri Pengangkutan

Pengampunan bersyarat Najib: Anthony lepas jawatan Menteri Pengangkutan

Pengampunan bersyarat Najib tidak ubah status kes 1MDB – SPRM

Pengampunan bersyarat Najib tidak ubah status kes 1MDB – SPRM