
SANDAKAN – Politeknik Sandakan Sabah (PSS) melakar sejarah baharu dalam bidang pendidikan tinggi apabila menyambut kemasukan kumpulan pertama seramai 17 pelajar mengikuti Program Asasi Teknologi Kejuruteraan bagi Sesi I: 2025/2026.
Pengarahnya, Mohd Sahran@Awang Mohidin berkata, pengambilan sulung ini menandakan detik penting kerana ia merupakan program asasi pertama seumpamanya yang ditawarkan oleh politeknik di Sabah.
“Program Asasi Teknologi Kejuruteraan ini mencerminkan komitmen Politeknik Sandakan dalam menyediakan laluan pendidikan yang inovatif dan relevan bagi pelajar di rantau ini.
“Pengambilan pertama ini bukan sahaja membuka peluang baharu kepada anak muda Sabah, tetapi turut mengukuhkan peranan kami sebagai pusat kecemerlangan pendidikan teknikal di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Menurut beliau, program tersebut akan menjadi asas kukuh untuk para pelajar sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang kejuruteraan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti merangkap Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Riam Chau Mai, turut menyuarakan harapan terhadap kejayaan pelaksanaan program tersebut.
Jelasnya, program persediaan selama satu tahun ini memberi peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian ke universiti di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
“Saya yakin program ini akan melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah dan negara secara keseluruhan.
“Pelajar yang mendaftar hari ini bakal mengikuti kurikulum komprehensif yang dirangka khusus untuk membina asas dalam bidang teknologi kejuruteraan sebelum meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam pelbagai cabang kejuruteraan,” ujarnya.







