KUANTAN – Pahang tersenarai antara lima negeri merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi kadar pertumbuhan Malaysia, iaitu 5.7 peratus pada tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ekonomi negeri terus mencatat prestasi cemerlang apabila laporan KDNK 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meletakkan negeri ini di kedudukan keempat terbaik.
Katanya, laporan itu menunjukkan Pahang selama tiga tahun berturut-turut mengatasi kadar pertumbuhan nasional sejak 2022.
“Nilai KDNK negeri meningkat secara konsisten dengan RM61.7 bilion pada 2022, RM64.9 bilion pada 2023 dan RM68.7 bilion pada tahun lalu.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara kepimpinan Kerajaan Negeri, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat,” katanya melalui kenyataan.
Berdasarkan kenyataan DOSM sebelum ini, Johor mendahului dengan 6.4 peratus, diikuti Selangor (6.3 peratus), Kuala Lumpur (6.2 peratus), Pahang (5.7 peratus) dan Labuan (5.4 peratus).
Menurut kenyataan itu, ekonomi Pahang menyaksikan pertumbuhan mengatasi peringkat nasional 5.1 peratus dengan nilai KDNK mencecah RM68.7 bilion pada tahun lalu.
Pertumbuhan itu didorong peningkatan 4.9 peratus dalam sektor perkhidmatan, khususnya subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan sebanyak 5.4 peratus selain subsektor perkhidmatan lain yang mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus.




