
BULAN Jun 2025 menyaksikan Kerajaan Negeri Perlis diasak dari pelbagai penjuru, bukan sahaja oleh suara rakyat, tetapi juga oleh teguran istana dan isyarat tegas daripada ahli parti sendiri.
Walaupun isu-isu yang timbul kelihatan terpisah, hakikatnya semuanya menunjuk kepada persoalan yang sama, sejauh mana kepercayaan rakyat terhadap kecekapan pentadbiran masih kekal utuh?
Teguran terbuka Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 24 Jun lalu ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Wisma Majlis Perbandaran Kangar (MPK), merupakan tamparan halus tetapi jelas terhadap birokrasi kerajaan tempatan.
Rakyat Perlis sememangnya sangat bertuah, memiliki Raja pemerintah yang cukup cakna dan prihatin dengan keluh resah serta merasai sendiri denyut nadi rakyat marhaen.
Baginda menyebut secara langsung tentang kewujudan pegawai yang bersikap seperti “Little Napoleon” yang didakwa melambatkan proses urusan rakyat.
Malah Baginda sendiri mendedahkan pernah menunggu tiga tahun hanya untuk satu proses tukar syarat.
Ketika titah ini dilontarkan di hadapan Menteri Besar (MB) Perlis dan Yang Dipertua MPK, mesejnya bukan hanya menyentuh pegawai teknikal, tetapi menyasar kepada keperluan reformasi menyeluruh dalam budaya kerja sektor awam.
Bukan itu sahaja, dalam pemilihan Pas Kawasan Arau, MB sendiri tewas dalam perebutan jawatan Yang Dipertua kawasan kepada penyandang, Solahudin Azmi, dengan hanya memperoleh 43 undi berbanding 128 undi pesaingnya.
Lebih memeranjatkan, beberapa Exco kanan dan ADUN kerajaan negeri, Speaker DUN serta Senator yang rapat dengan beliau turut tewas dalam pemilihan kawasan masing-masing di Arau, Padang Besar dan Kangar.
Walaupun Pas tetap menjadi kerajaan negeri, kekalahan ini secara tidak langsung memberi isyarat bahawa sebahagian ahli parti mula mempertikaikan prestasi atau pendekatan semasa kepimpinan negeri.
Ia juga memperlihatkan wujudnya percanggahan pendapat dalaman yang mungkin diterjemah dalam bentuk undi protes kepada pucuk pimpinan parti.
Dalam waktu yang sama, pelaksanaan sistem parkir pintar oleh MPK terus mencetuskan pelbagai reaksi negatif khususnya di media sosial.
Rata-rata pengguna di pusat bandar Kangar menyuarakan kebimbangan tentang kesesakan, kekeliruan sistem digital, dan pelanggaran hak orsng kelainan upaya (OKU).
Golongan peniaga kecil dan warga emas antara yang paling lantang menyuarakan rasa tidak puas hati. Malah pada awal Mei lalu, seorang warga emas berusia 62 tahun ditahan kerana didakwa merosakkan tiga palang parkir automatik di Jalan Seruling, satu insiden yang menjadi simbol kepada keresahan umum.
Walaupun Kerajaan Negeri menjelaskan bahawa sistem ini diperkenalkan untuk menambah hasil serta mengurangkan ketirisan, terdapat keperluan mendesak agar pelaksanaannya dilakukan dengan pendekatan yang lebih inklusif dan bertimbang rasa.
Ketiga-tiga perkembangan ini iaitu titah diraja, keputusan pemilihan parti dan kontroversi parkir pintar jelas menunjukkan wujudnya cabaran kepercayaan kepada pentadbiran negeri.
Ia bukan lagi soal populariti, tetapi soal keyakinan terhadap keberkesanan pentadbiran negeri dalam mengurus hal ehwal rakyat dengan bijak dan empati.
Dalam sistem demokrasi dan beraja seperti Malaysia, teguran dari pelbagai arah bukanlah satu serangan, tetapi petunjuk bahawa rakyat, istana dan ahli parti masih peduli.
Maka yang tinggal kini hanyalah persoalan: adakah kerajaan negeri sedia mendengar rintihan rakyat dan membetulkan hala tuju, atau terus mempertahankan status quo sehingga benang kepercayaan itu putus sepenuhnya?





