KUCHING – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching pada petang Sabtu, bagi memulakan lawatan rasmi dua hari di Sarawak.
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.
Lawatan ini dijangka akan mengukuhkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui pelbagai inisiatif pembangunan.
Agenda utama bagi lawatan rasmi ini adalah termasuk menghadiri Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jalan Kampung Kupang ke Simpang Jalan Bajau, yang akan berlangsung di Simpang Rumah Rengan Selambong, Saratok, pada pagi Ahad.
Majlis tersebut turut disertai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sebagai simbol komitmen Kerajaan Pusat dalam meningkatkan infrastruktur luar bandar.
Bagi sebelah malamnya, Zahid akan menghadiri Sambutan Hari Gawai Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Majlis tersebut turut bakal dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



