
PRESIDEN Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan bahawa rantau Asia Barat mungkin tidak akan mengecapi keamanan dan keselamatan yang berkekalan sekiranya pencerobohan rejim Zionis Israel terhadap negaranya terus berlarutan.
Dalam perbualan telefon bersama Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada Selasa, beliau berkata, Israel terus mengingkari undang-undang serta norma antarabangsa yang diiktiraf dunia, lapor IRNA.
Presiden Pezeshkian menyatakan bahawa sejak awal pentadbirannya, beliau menekankan kepentingan perpaduan dan solidariti dalam negara serta menerusi kerjasama bersama negara luar.
Namun, katanya, usaha Iran ke arah perdamaian telah diganggu dengan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, di Teheran yang dilakukan oleh Israel.
Beliau turut merujuk kepada siri serangan Israel terhadap Iran yang berlaku ketika Teheran sedang giat menjalankan rundingan dengan Amerika Syarikat bagi membuktikan bahawa program nuklear Iran adalah untuk tujuan aman.
Katanya, tindakan rejim Israel itu adalah cubaan untuk menggagalkan usaha diplomatik Iran bagi menamatkan ketegangan serantau.
Sementara itu, Presiden UAE menyatakan sokongan padu negara itu terhadap kerajaan dan rakyat Iran, selain memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan rundingan diplomatik secara menyeluruh bagi meredakan ketegangan dan mengembalikan kestabilan serta keselamatan di rantau berkenaan.





