
KUCHING – Pua Kumbu ialah kain kapas berwarna-warni bercorak tradisional yang digunakan masyarakat Iban dalam pelbagai upacara adat, dan menjadi simbol identiti budaya yang kaya di Sarawak.
Di sebalik kehalusan seni itu, terselit ketekunan dan semangat seorang anak jati Bintulu, Sandin Ikang, yang kini bangkit menghidupkan kembali warisan nenek moyangnya.
Sandin, yang meminati seni Pua Kumbu sejak kecil, mengakui pernah menyimpan cita-cita itu jauh di sudut hati apabila tidak mendapat galakan daripada orang tuanya.
“Dulu saya minat tengok coraknya, tapi tak berani praktik sebab orang tua tak galakkan. Sekarang, saya nekad untuk teruskan dan usahakan sendiri demi warisan bangsa,” katanya ketika ditemui oleh wartawan The Malaysia Press pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-43 Mengenai Tenaga (SOME) ke-43 berlangsung di Kuching, Sarawak.
Seni menghasilkan Pua Kumbu memerlukan tahap kesabaran dan ketelitian yang tinggi, bermula dari proses mencelup benang hingga kepada tenunan corak yang rumit dan bermakna.
Menurut Sandin, antara cabaran utama dalam bidang ini ialah kos penghasilan yang semakin tinggi dari segi bahan mentah dan peralatan.
“Memang mahal, tapi bagi pencinta seni Pua Kumbu, mereka tetap mencari walau berapa pun harganya. Sebab bagi mereka, nilai seni dan warisan itu lebih penting,” ujarnya.
Justeru, dia menyeru golongan muda agar tidak malu untuk mempelajari dan mendalami seni Pua Kumbu sebagai usaha mengekalkan warisan tersebut ke generasi akan datang.
“Saya galakkan anak muda untuk menceburi bidang ini. Kalau ada yang berminat, boleh cari saya,” tambahnya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan kain Pua Kumbu atau mempelajari cara penghasilannya boleh menghubungi Sandin di talian 011-31813554.






