
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan terus komited untuk mengambil pelbagai pendekatan terbaik bagi memastikan kes denggi di negeri ini terus menurun.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, untuk tempoh sehingga 22 minggu pertama tahun ini, Johor berjaya menurunkan jumlah kes sehingga 60 peratus berbanding tahun lalu.
“Bagi tahun ini, sebanyak 2,998 kes denggi dengan empat kematian direkodkan. Ia menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu apabila bagi tempoh sama, sebanyak 7,323 kes dengan membabitkan sembilan kematian dicatatkan
“Kita hargai usaha dan komitmen semua pihak yang membantu membanteras denggi. Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut komited memastikan masalah ini terkawal termasuklah dengan menyalurkan peruntukan sehingga RM250,000,” katanya di hantaran Facebook beliau hari ini.

Menurut Tian Soon, antara usaha dijalankan termasuklah semburan nyamuk di luar rumah, kempen kebersihan dan juga pelepasan nyamuk Berwabachia di empat lokasi percubaan.
“Data awal menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan. Kita akan terus berusaha bagi memastikan kes denggi ini terus menurun.
“Ini bagi memastikan nyawa rakyat dilindungi dan sistem kesihatan tak terbeban. Terima kasih kepada semua yang terus peduli tengang kebersihan persekitaran dan turut membantu dalam usaha mencegah denggi,” katanya.





