
KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit tersohor tanah air, Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa bangga terhadap pengarah muda dari Sarawak, Ghazali Jeman atau lebih dikenali sebagai Jalot Jeman, yang bakal menayangkan filem sulungnya bertajuk Tumbukan Emas Sapok Biki.
Beliau turut menyatakan rasa terharu dengan kejayaan Jalot yang berjaya menembusi industri perfileman arus perdana meskipun berpangkalan di luar Kuala Lumpur.
Dalam satu pertemuan santai bersama Jalot di sebuah restoran baru-baru ini, beliau turut berkongsi pelbagai nasihat dan panduan berharga kepada pengarah muda tersebut.
“Saya kenal Jalot sejak 10 tahun lalu dan hari ini saya sangat berbangga kerana beliau berjaya menghasilkan sebuah filem untuk tayangan pawagam.
“Bukan mudah menjadi pengarah filem, apatah lagi apabila tidak berpangkalan di pusat industri seperti Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut beliau, antara pesanan penting yang disampaikan kepada Jalot ialah agar tidak mudah berputus asa dalam industri yang penuh cabaran, sebaliknya terus berjuang dengan semangat kental.
“Kejayaan tidak datang dengan mudah. Semangat dan ketekunan adalah kunci utama,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan rezeki kutipan sesebuah filem bukan terletak di tangan pengkritik atau warganet, sebaliknya ditentukan oleh Allah SWT.
“Ada filem yang menerima promosi besar tetapi gagal dari segi kutipan. Ada pula yang tidak dipromosi secara meluas tetapi berjaya di pasaran. Rezeki itu milik Tuhan,” jelasnya.
Tambah beliau, menghasilkan sesebuah filem merupakan proses yang sukar dan mencabar, lebih-lebih lagi apabila semakin banyak filem ditayangkan saban tahun.
“Jangan tarik brek tangan di tengah jalan. Jika sudah melangkah, teruskan perjuangan.
“Tidak ramai mampu bergelar pengarah filem, jadi teruskan peranan itu dengan penuh rasa bangga,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan kutipan panggung bukan satu-satunya ukuran kejayaan kerana filem boleh dipasarkan ke pelbagai platform penstriman digital (OTT) seperti stesen televisyen tempatan, Netflix, VIU dan lain-lain.
Namun begitu, beliau menasihatkan agar aspek promosi tidak diabaikan kerana media sosial kini menjadi saluran paling pantas dan berkesan dalam menyebarkan maklumat.
“Tiada formula khusus untuk menjamin kejayaan filem.
“Promosi besar-besaran sekali pun belum tentu menjamin sambutan. Semuanya bergantung kepada rezeki,” katanya.
Menurutnya, beliau sendiri tidak meletakkan harapan tinggi terhadap kutipan filem Blood Brothers kerana tidak mahu kecewa.
“Apabila terlalu berharap dan tidak kesampaian, ia boleh membawa kekecewaan,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan Jalot agar terus menghasilkan drama dan telefilem kerana kedua-duanya merupakan sumber rezeki penting dalam industri kreatif.

“Filem dan televisyen adalah dua dunia berbeza, tetapi kedua-duanya memainkan peranan besar terhadap kelangsungan hidup tenaga kerja industri, terutamanya mereka yang bergantung kepada pengarah sepertinya,” katanya.
Sementara itu, Jalot menyifatkan pertemuan bersama-sama Datuk Yusof sebagai penuh makna dan amat memberi inspirasi.
“Saya mengenali Datuk Yusof kira-kira 10 tahun lalu ketika menjadi kru produksi dan turut berlakon dalam produksi Viper Studio milik anak beliau, Shafiq Yusof, yang pada masa itu baru memulakan operasi,” katanya.
Jalot turut memaklumkan filem Tumbukan Emas Sapok Biki dijangka menjadi antara naskhah menarik tahun ini kerana mengetengahkan kisah legenda tinju Sarawak dengan sentuhan lokal yang kuat.
“Persiapan akhir seperti muzik latar dan penyesuaian warna (colour grading) sedang giat dijalankan.
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama anak-anak Sarawak, agar menantikan filem inspirasi ini.
“Filem ini akan membawa penonton menyelusuri perjalanan menjadi insan yang berjaya dan melakar sejarah buat Malaysia,” katanya.



