
PENAMPANG – Juara program realiti Borneo Rising musim pertama, Dabra Sia berhasrat mengetengahkan identiti Sabah dalam karya muziknya, selain mengembangkan kerjaya seni ke peringkat lebih luas selepas mencipta kejayaan dalam pertandingan itu.
Penyanyi berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu berkata, penyertaannya dalam Borneo Rising membuka peluang untuk bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik profesional, sekali gus membantunya menghasilkan karya yang lebih menyerlahkan kekuatan serta identiti tersendiri.
“Sebelum ini memang ada tawaran, tetapi kebanyakannya lagu Sabah. Saya masih mencari label yang betul-betul boleh bekerjasama dengan saya, nampak kelebihan saya dan pada masa sama, saya mahu mengetengahkan identiti Sabah.
“Saya percaya apabila menyertai Borneo Rising, saya boleh membina hubungan dengan komposer dan penulis lirik, belajar banyak perkara serta mengenal pasti kelebihan dan kelemahan diri untuk menghasilkan lagu yang sesuai dengan kemampuan saya,” kongsinya semasa ditemui media selepas dinobatkan sebagai juara Borneo Rising musim pertama yang berlangsung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), pada Ahad.
Menurut Dabra, pada awalnya beliau berbelah bahagi untuk menyertai pertandingan itu memandangkan beliau sudah mempunyai kerjaya sebagai penyanyi di Sabah.
Bagaimanapun, keyakinannya terhadap Astro sebagai penganjur mendorong beliau merebut peluang berkenaan, khususnya untuk memperluas jaringan dalam industri muzik serta meningkatkan kemahiran penulisan lagu.
“Sebelum menyertai Borneo Rising, saya banyak kali berfikir sama ada patut pergi kerana saya sudah menjadi penyanyi di Sabah, tetapi kerjaya saya hanya tertumpu di Sabah.
“Walaupun namanya Borneo Rising, Astro yang membuatkan saya percaya bahawa peluang untuk mengembangkan bakat saya sangat luas, terutama dalam bidang penulisan lagu,” katanya.
Mengulas mengenai perancangannya selepas kemenangan itu, Dabra tidak menolak kemungkinan berhijrah ke Semenanjung sekiranya mendapat peluang yang sesuai untuk mengembangkan kerjaya seni.
“Kalau ada rezeki, mungkin saya boleh berhijrah ke Semenanjung,” katanya.
Dalam pada itu, Dabra turut berkongsi cabaran berkaitan keadaan pita suaranya yang menyebabkan suara menjadi garau terutama pada waktu pagi, selain menghadapi kesukaran mencapai nada tertentu.
”Bimbingan tenaga pengajar sepanjang pertandingan banyak membantu beliau mempelajari teknik nyanyian yang lebih sesuai tanpa memberikan tekanan berlebihan kepada pita suara.
“Saya ada masalah pita suara yang menyebabkan saya agak sukar mencapai nada tertentu dan setiap pagi suara saya akan garau.
“Tetapi sepanjang Borneo Rising, tenaga pengajar banyak mengajar saya supaya tidak terlalu membebankan pita suara. Itu antara perkara paling banyak saya pelajari,” katanya.
Meskipun berdepan cabaran berkenaan, Dabra secara berseloroh mengakui tekanan terbesarnya ketika membuat persembahan bukanlah masalah suara, sebaliknya kesukaran menghafal lirik lagu.
“Saya lebih tertekan kerana takut tidak hafal lirik. Saya memang mudah lupa lirik,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Dabra membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi Borneo Rising tajaan Astro dan CelcomDigi, selain peluang merakamkan sebuah single serta muzik video terbitan Rocketfuel.
Penyanyi, penulis.lirik yang juga jururawat itu turut menerima kontrak pembangunan dan pemasaran artis bernilai sehingga RM100,000 tajaan Rocketfuel.
Pada pentas akhir pertandingan, Dabra menyampaikan lagu Abracadabra nyanyian asal Lady Gaga secara solo dan turut dinobatkan sebagai penerima pengiktirafan Persembahan Paling Power.
Beliau juga berduet bersama Mai K.O.I menerusi lagu Ku Bersuara.
Sementara itu, Petrova muncul sebagai naib juara, diikuti Joy di tempat ketiga dan Harris menduduki tempat keempat.







