
PUTRAJAYA – Orang ramai disaran mengelak daripada membuat penyataan bersifat spekulatif atau berbaur fitnah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther daripada pertuduhan terhadapnya di akhir kes pendakwaan, pada Khamis.
Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan memaklumkan, kenyataan tidak benar perlu dijauhi berhubung keputusan kes terbabit terutama dibuat di luar skop alasan keputusan yang diberikan oleh mahkamah.
Jelasnya, pentadbiran keadilan hendaklah tidak dijejaskan oleh perbicaraan melalui media (trial-by-media), sindiran awam, kedudukan atau persepsi.
“Jabatan ini akan meneliti keputusan kes dan mempertimbangkan semua aspek berkenaan sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.
“Jabatan ini kekal komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menurut perlembagaan dengan berintegriti, saksama dan menghormati proses pengadilan,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Peguam Negara menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Yusoff.
Katanya, pihaknya mengambil maklum alasan keputusan yang diberikan mahkamah terhadap kes tersebut.
“Tujuan sesuatu pendakwaan dijalankan adalah untuk memastikan keadilan tercapai berdasarkan bukti dan nas undang-undang.
“Jabatan ini menyedari bahawa kes itu menarik perhatian umum. Sepanjang prosiding, jabatan ini bertindak menurut batas kebebasan pendakwaan dan proses undang-undang.
“Pendakwaan dijalankan berdasarkan penelitian secara berhati-hati terhadap bukti tersedia dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.
Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September tahun lalu.
Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada 9.25 pagi, 6 September tahun sama.





