Lebih 200 mayat ditemukan di lokasi pesawat Air India terhempas

NEW DELHI – Lebih 200 mayat ditemukan di lokasi nahas pesawat Air India yang terhempas semasa dalam penerbangan ke London pada tengah hari semalam.

Pesawat Boeing 787 Dreamliner itu membawa 169 warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada ketika terhempas di kawasan perumahan berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad di negeri Gujarat.

Penerbangan AI171 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel Ahmedabad menuju ke Lapangan Terbang London Gatwick pada pukul 1.38 tengah hari waktu tempatan, menurut Air India.

Selain 230 penumpang, pesawat itu turut membawa 12 anak kapal.

Pesawat itu dilaporkan merempuh sebuah bangunan asrama doktor ketika terhempas.

Sekurang-kurangnya 204 mayat ditemukan di lokasi kejadian, lapor media tempatan yang memetik Ketua Polis Bandar Ahmedabad GS Malik.

Seorang mangsa terselamat dikenali sebagai Vishwash Kumar Ramesh, 40, menceritakan detik cemas dari katil hospital.

“Tiga puluh saat selepas berlepas, saya dengar bunyi kuat dan pesawat terhempas,” katanya seperti dilapor akhbar Hindustan Times.

“Apabila saya sedar, saya lihat mayat di sekeliling. Saya ketakutan.

“Saya bangun dan lari. Serpihan pesawat berada di mana-mana.

“Seseorang menarik saya, meletakkan saya dalam ambulans dan membawa saya ke hospital,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Air India, Campbell Wilson dalam satu kenyataan video pada sebelah petang tidak menyebut angka korban atau jumlah mangsa yang cedera.

Ramai pemimpin dunia dan pengeluar pesawat Boeing menyampaikan ucapan takziah atas tragedi berkenaan.

Model 787-8 adalah antara pesawat badan lebar paling laris di dunia.

Kumpulan Tata, pemilik Air India, memaklumkan bahawa mereka akan menyalurkan pampasan sebanyak 10 juta rupee (AS$116,858) kepada keluarga setiap mangsa terkorban, selain menanggung sepenuhnya kos rawatan mangsa yang cedera.

“Selain itu, kami juga akan memberi sokongan untuk membina semula asrama B J Medical,” kata Pengerusinya, N Chandrasekaran.

Lapangan Terbang Ahmedabad yang sebelum ini menangguhkan semua operasi selepas insiden itu, telah menyambung semula operasi penerbangan.

Menteri Penerbangan Awam India Ram Mohan Naidu Kinjarapu turut melawat lokasi nahas.

“Kami akan menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh. Kami akan menyiasat secara mendalam untuk mengetahui punca sebenar kejadian ini,” katanya kepada media.

Related Posts

Moscow akan lakukan ‘segala termampu’ demi keamanan Asia Barat

SAINT PETERSBURG – Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan, Moscow akan melakukan ‘segala yang termampu’ bagi memastikan keamanan di Asia Barat dalam pertemuan bersama Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, semalam. Menurut…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Suspek serang majlis dihadiri Trump disifatkan sebagai ‘seorang yang sakit’

WASHINGTON – Donald Trump menyifatkan suspek yang didakwa cuba menyerang pegawai pentadbirannya di satu majlis gala berpakaian rasmi pada malam Sabtu sebagai ‘lelaki yang agak sakit’. Presiden Amerika Syarikat (AS)…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rasionalisasi penyelarasan perbelanjaan kerajaan

Rasionalisasi penyelarasan perbelanjaan kerajaan

Peniaga alami kerugian, kecewa Himpunan 1 Mei jadikan masjid tempat berkumpul

Peniaga alami kerugian, kecewa Himpunan 1 Mei jadikan masjid tempat berkumpul

Kerajaan perkenal Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi untuk Sabah, Sarawak dan Labuan

Kerajaan perkenal Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi untuk Sabah, Sarawak dan Labuan

Perairan Perlis jadi habitat mamalia marin bertaraf antarabangsa

Perairan Perlis jadi habitat mamalia marin bertaraf antarabangsa

Empat sekolah di Kepala Batas rosak dibadai ribut

Empat sekolah di Kepala Batas rosak dibadai ribut

‘Suci sangatkah air mereka?’ – Shaiful Hazizy

‘Suci sangatkah air mereka?’ – Shaiful Hazizy