
KUALA LUMPUR — Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur adalah satu usaha untuk memperkenalkan kemajuan ibu negara kepada dunia, meskipun terdapat kebimbangan orang ramai terhadap kesesakan lalu lintas yang mungkin berlaku.
Bagi memastikan kelancaran urusan delegasi antarabangsa, beberapa jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup selama enam hari bermula 23 Mei.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan pergerakan yang tidak perlu terutamanya sekitar ibu negara.
Dalam lawatannya ke lokasi Pusat Media Antarabangsa (IMC) di Kuala Lumpur Convention Centre hari ini, Fahmi memaklumkan bahawa sidang kali ini amat bermakna kerana buat pertama kalinya, ia akan disertai oleh wakil dari negara China dan negara-negara Teluk.
Tambahnya lagi, kali terakhir negara menjadi tuan rumah sidang kemuncak ini ialah 10 tahun lalu, dan penganjuran kali ini merupakan wadah untuk memperlihatkan pencapaian yang telah diraih.
“Dalam kebanyakan waktu, kita anjurkan persidangan di Kuala Lumpur untuk persembahkan kepada tetamu kemodenan ibu kota ini.
“Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN adalah 10 tahun lalu,” kata Fahmi dalam Sidang Media Mingguan pada Rabu.
Enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan mengalami penutupan atau perubahan laluan sepanjang tempoh acara.
“Kali ini kita ada tiga sidang kemuncak yang dijadualkan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) 2025, dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
“Bukan satu tapi tiga, ini yang membezakan sidang kemuncak kali ini dengan sebelumnya,” katanya.
Menurut Pesuruhjaya Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, seramai 789 anggota polis akan ditugaskan untuk mengiringi tetamu kenamaan dan mengawal aliran trafik.
Fahmi berkata, bagi mengurangkan kesan kepada rakyat, syarikat swasta disaran membenarkan pekerja bekerja dari rumah, manakala sekolah yang terletak berhampiran jalan-jalan terlibat akan menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Pada waktu sama, saya sedar persidangan ini akan menjejaskan perjalanan seharian rakyat seperti keberadaan di tempat kerja.
“Demikian itu, seiring galakan Perdana Menteri, syarikat swasta diharap dapat memberi peluang kepada staf untuk bekerja dari rumah.
“Ini bukan berlaku setiap minggu atau setiap bulan,” ujarnya.







