
KUCHING – Sarawak mencatat satu lagi pencapaian penting apabila sembilan perkara utama di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya dimuktamadkan bersama Kerajaan Persekutuan setakat Mei 2025.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali semasa menjawab soalan dalam Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 baru-baru ini.
Antara pencapaian penting yang dimeterai ialah penyerahan kuasa kawal selia LPG kepada Sarawak melalui PETROS, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) sebagai jabatan teknikal yang boleh melaksanakan projek persekutuan bernilai sehingga RM50 juta, serta kuasa penuh terhadap pengeluaran lesen perikanan laut dalam.
Lebih signifikan, pindaan Perlembagaan diluluskan bagi mengiktiraf kedudukan Sarawak dan Sabah sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia. Selain itu, takrif ‘Persekutuan’ di bawah Perkara 160(2) kini merangkumi MA63 dan dokumen berkaitan, manakala Perkara 161A turut dipinda bagi membolehkan Sarawak menentukan tafsiran ‘anak negeri’ secara lebih inklusif.
Kerajaan Sarawak juga memperkenalkan Ordinan Buruh Sarawak (Cap. 76) yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025, memperkukuh kuasa perundangan negeri dalam hal ehwal berkaitan pekerjaan.
Pada masa yang sama, Sharifah Hasidah menegaskan kerajaan Sarawak terus komited memperjuangkan beberapa tuntutan baharu termasuk penambahan kerusi Parlimen, pelantikan kehakiman, kuasa kawal selia alam sekitar oleh NREB, serta penurunan kuasa dalam aspek kesihatan, pendidikan dan pelancongan.
Pembangunan kawasan sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan turut menjadi fokus strategik dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







