Anwar curi perhatian dunia, buat Putin tertawa mesra

LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Rusia mencuri perhatian dunia apabila beliau dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, berkongsi detik jenaka yang mencerminkan keakraban dan diplomasi mesra antara kedua-dua pemimpin.

Dalam sidang media bersama di Kremlin pada Rabu, Putin berkongsi anekdot mengenai gurauan Anwar tentang takhta ketiga di Dewan St. Andrew.

Ketika Putin menunjukkan tiga takhta yang diperuntukkan untuk Tsar, Tsarina, dan satu lagi tanpa label, beliau bertanya kepada Anwar untuk siapa takhta ketiga itu. Tanpa teragak-agak, Anwar menjawab, “Untuk isteri kedua.” Jawapan spontan itu disambut dengan gelak tawa hadirin, termasuk menteri Malaysia, pegawai kanan Rusia, dan media antarabangsa.

Putin membalas secara berseloroh, “Itulah jawapan seorang Muslim sejati, wakil budaya Islam.” Anwar kemudian menjelaskan sambil tersenyum, “Saya hanya ada seorang isteri, Tuan Presiden. Tapi saya rasa itu satu ujian. Saya kata takhta kanan untuk isteri, kiri untuk isteri kedua. Tapi kemudian saya sedar sebenarnya ia untuk ibu.” Putin mengesahkan sambil ketawa, “Ya, takhta ketiga itu memang untuk ibu. Pertukaran maklumat sentiasa berguna.”

Kemesraan antara kedua-dua pemimpin itu ternyata mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-rata teruja dengan suasana mesra dan penuh humor yang ditampilkan.

“Ini sangat menggembirakan untuk dilihat, dua pemimpin negara masing-masing berkongsi momen santai tetapi penuh informatif. Presiden Putin sangat berhemah dan bijaksana apabila menyebut bahawa pertukaran maklumat itu penting,” komen @karenwtho9137 dalam siaran langsung pertemuan Anwar dan Putin di Youtube.

Adegan usik-mengusik antara Anwar dan Putin turut mencuit hati ramai.

“Usikan bersahaja itu datang daripada Presiden Putin. Gurauan itu membawa gelak tawa semua orang. Ya, mengusik satu sama lain memang kebiasaan antara sahabat,” ujar @sheryyp996.

Sementara itu, @mrazalibaharin8472 menyatakan keterujaannya melihat sisi berbeza Presiden Rusia yang seringkali berpewatakan tegas.

“Sungguh menarik melihat kedua-duanya berkomunikasi dalam suasana yang santai, suasana ini kelihatan mesra. Saya benar-benar terkejut melihat sisi humor Presiden Putin,” katanya.

Tidak ketinggalan, Fong Ting Siong melihat momen itu sebagai isyarat hubungan strategik yang kian kukuh antara Malaysia dan Rusia.

“Keserasian antara mereka sangat tulen dan hebat. Malaysia sedang membuat langkah yang tepat. Kini, mereka (Malaysia) dekat dengan dua kuasa besar dunia iaitu Rusia dan China yang boleh benar-benar dianggap rakan,” ujarnya.

Rata-rata netizen menyifatkan interaksi itu sebagai simbolik kepada hubungan antarabangsa yang matang, saling menghormati, dan terbuka kepada kerjasama dua hala yang lebih erat di masa depan.

Keupayaan Anwar berjenaka dengan Putin turut dilihat sebagai bukti kemahiran diplomatiknya yang luar biasa.

Lawatan Anwar Ibrahim ke Rusia, yang berlangsung dari 13 hingga 16 Mei 2025, merupakan lawatan rasmi pertama pemimpin Malaysia ke Rusia dalam tempoh hampir 20 tahun.

Related Posts

Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri perhalusi strategi tangani ketidaktentuan global

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-149 hari ini menumpukan perbincangan terhadap pelbagai strategi bagi menangani ketidaktentuan global yang semakin mencabar susulan konflik yang berlarutan di Asia…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Islam bukan milik mana-mana parti, Pas bukan badan pensijilan ‘Halal’ politik

KENYATAAN Presiden Pas dalam tulisan Minda Presiden bertajuk ‘Pas tidak pisahkan politik daripada Islam (Al-Din)’ yang menjelaskan keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu atas alasan pelanggaran prinsip syariah, kemungkaran politik dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri perhalusi strategi tangani ketidaktentuan global

Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri perhalusi strategi tangani ketidaktentuan global

PRN Johor: Maszlee sahut cabaran debat Onn Hafiz

PRN Johor: Maszlee sahut cabaran debat Onn Hafiz

Warga emas cedera parah ditetak dengan parang di kebun durian

Warga emas cedera parah ditetak dengan parang di kebun durian

BDR jimat RM5.98 juta subsidi petrol – KSN

BDR jimat RM5.98 juta subsidi petrol – KSN

Islam bukan milik mana-mana parti, Pas bukan badan pensijilan ‘Halal’ politik

Islam bukan milik mana-mana parti, Pas bukan badan pensijilan ‘Halal’ politik

Penurunan harga diesel bukti kerajaan prihatin keluhan rakyat

Penurunan harga diesel bukti kerajaan prihatin keluhan rakyat