Anwar curi perhatian dunia, buat Putin tertawa mesra

LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Rusia mencuri perhatian dunia apabila beliau dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, berkongsi detik jenaka yang mencerminkan keakraban dan diplomasi mesra antara kedua-dua pemimpin.

Dalam sidang media bersama di Kremlin pada Rabu, Putin berkongsi anekdot mengenai gurauan Anwar tentang takhta ketiga di Dewan St. Andrew.

Ketika Putin menunjukkan tiga takhta yang diperuntukkan untuk Tsar, Tsarina, dan satu lagi tanpa label, beliau bertanya kepada Anwar untuk siapa takhta ketiga itu. Tanpa teragak-agak, Anwar menjawab, “Untuk isteri kedua.” Jawapan spontan itu disambut dengan gelak tawa hadirin, termasuk menteri Malaysia, pegawai kanan Rusia, dan media antarabangsa.

Putin membalas secara berseloroh, “Itulah jawapan seorang Muslim sejati, wakil budaya Islam.” Anwar kemudian menjelaskan sambil tersenyum, “Saya hanya ada seorang isteri, Tuan Presiden. Tapi saya rasa itu satu ujian. Saya kata takhta kanan untuk isteri, kiri untuk isteri kedua. Tapi kemudian saya sedar sebenarnya ia untuk ibu.” Putin mengesahkan sambil ketawa, “Ya, takhta ketiga itu memang untuk ibu. Pertukaran maklumat sentiasa berguna.”

Kemesraan antara kedua-dua pemimpin itu ternyata mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-rata teruja dengan suasana mesra dan penuh humor yang ditampilkan.

“Ini sangat menggembirakan untuk dilihat, dua pemimpin negara masing-masing berkongsi momen santai tetapi penuh informatif. Presiden Putin sangat berhemah dan bijaksana apabila menyebut bahawa pertukaran maklumat itu penting,” komen @karenwtho9137 dalam siaran langsung pertemuan Anwar dan Putin di Youtube.

Adegan usik-mengusik antara Anwar dan Putin turut mencuit hati ramai.

“Usikan bersahaja itu datang daripada Presiden Putin. Gurauan itu membawa gelak tawa semua orang. Ya, mengusik satu sama lain memang kebiasaan antara sahabat,” ujar @sheryyp996.

Sementara itu, @mrazalibaharin8472 menyatakan keterujaannya melihat sisi berbeza Presiden Rusia yang seringkali berpewatakan tegas.

“Sungguh menarik melihat kedua-duanya berkomunikasi dalam suasana yang santai, suasana ini kelihatan mesra. Saya benar-benar terkejut melihat sisi humor Presiden Putin,” katanya.

Tidak ketinggalan, Fong Ting Siong melihat momen itu sebagai isyarat hubungan strategik yang kian kukuh antara Malaysia dan Rusia.

“Keserasian antara mereka sangat tulen dan hebat. Malaysia sedang membuat langkah yang tepat. Kini, mereka (Malaysia) dekat dengan dua kuasa besar dunia iaitu Rusia dan China yang boleh benar-benar dianggap rakan,” ujarnya.

Rata-rata netizen menyifatkan interaksi itu sebagai simbolik kepada hubungan antarabangsa yang matang, saling menghormati, dan terbuka kepada kerjasama dua hala yang lebih erat di masa depan.

Keupayaan Anwar berjenaka dengan Putin turut dilihat sebagai bukti kemahiran diplomatiknya yang luar biasa.

Lawatan Anwar Ibrahim ke Rusia, yang berlangsung dari 13 hingga 16 Mei 2025, merupakan lawatan rasmi pertama pemimpin Malaysia ke Rusia dalam tempoh hampir 20 tahun.

Related Posts

Gempa bumi lemah magnitud 3.3 gegar Kuamut

KUAMUT – Gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 berlaku di Kuamut, Kinabatangan, Sabah pada pukul 5.32 pagi, hari ini. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu,  gempa itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan Persekutuan tidak campur urusan diraja Negeri Sembilan – Anwar

PENDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak mencampuri urusan pentadbiran Negeri Sembilan, khususnya berkaitan institusi diraja dan adat negeri itu. Anwar berkata, beliau menghormati peranan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Gempa bumi lemah magnitud 3.3 gegar Kuamut

  • By Fandi
  • September 26, 2026
Gempa bumi lemah magnitud 3.3 gegar Kuamut

Kerajaan Persekutuan tidak campur urusan diraja Negeri Sembilan – Anwar

Kerajaan Persekutuan tidak campur urusan diraja Negeri Sembilan – Anwar

City bersalah 114 tuduhan dikemukakan EPL

City bersalah 114 tuduhan dikemukakan EPL

Kerajaan pertimbang kembalikan status Langkawi pulau bebas cukai – PM Anwar

Kerajaan pertimbang kembalikan status Langkawi pulau bebas cukai – PM Anwar

Kes seleweng KLVC: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA dituduh minggu depan

Kes seleweng KLVC: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA dituduh minggu depan

Kerajaan tambah peruntukan usahawan kecil dalam Belanjawan 2027

Kerajaan tambah peruntukan usahawan kecil dalam Belanjawan 2027