
KULIM – Hasrat seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Konstabel Akmal Wafi yang terlibat kemalangan di Teluk Intan, Perak untuk pulang ke kampungnya bersama adik perempuannya hari ini di Kulim tidak kesampaian.
Menurut bapa mangsa, Annuar Yusoff, 55, arwah yang merupakan anak sulung daripada lima beradik menyatakan hasratnya itu menerusi panggilan video, tiga hari lalu.
“Panggilan video itu ada saya dan isteri serta adik-beradik arwah yang lain dan adik perempuannya, Nor Wardina, 26, yang tinggal di Shah Alam, Selangor menyatakan hasrat nak pulang ke Kulim, hari ini.
“Selepas mendengar hasrat adiknya itu, Wafi terus minta adiknya singgah di Ipoh kerana mahu menumpang kereta untuk pulang ke kampung bersama-sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Katanya, anaknya itu merupakan seorang yang ceria dan setiap kali pulang bercuti, arwah akan berjumpa dengan kawan-kawan sekolahnya.
“Kali terakhir saya bertemu dengan Wafi adalah dua minggu lalu yang mana arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Arwah masih bujang, jadi bila cuti arwah sering berjumpa kawan-kawannya dan jarang berada di rumah,” ujarnya.
Annuar berkata, dia mengetahui berlaku kemalangan membabitkan anggota polis menerusi gambar dan video yang tular ketika bersarapan bersama beberapa rakan di sebuah kedai di sini kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
“Pada masa itu saya masih tidak mengesyaki apa-apa kejadian buruk yang berlaku pada anak saya itu. Cuma saya ada melihat video rakan setugas arwah di dalam trak FRU yang dimuat naiknya di media sosial.
“Arwah memang selalu berkongsi tentang aktivitinya di tempat kerja untuk dikongsi dengan keluarga,” katanya.
Tambahnya, sebaik pulang ke rumah, dia cuba menghubungi telefon bimbit arwah beberapa kali, namun tidak berjawab.
“Saya terus menghubungi tempat kerjanya sebelum dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa Wafi,” katanya.
Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Limau, Lunas, di sini selepas urusan bedah siasat selesai.
End.



