
TAWAU – Luar biasa! Begitulah hebatnya sambutan terhadap program pertukaran dan pemberian topi keledar anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah apabila orang ramai mula berpusu-pusu seawal 6 pagi bagi mendapatkan topi keledar baharu.
Ketua Bahagian Kanan Pengurusan, Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Sabah, Azman Poji berkata, sejak program bermula kelmarin sambutan yang diterima sangat menggalakkan bukan sahaja dari warga Tawau malah daerah yang berdekatan seperti Semporna.
“Alhamdulillah, sejak semalam kita telah mengagihkan 800 topi keledar dewasa dan hari ini kita menyasarkan jumlah yang sama.
“Sehingga pukul 9 pagi, lebih 150 topi keledar telah diserahkan dan kita jangka sekitar 400 topi keledar akan diagihkan sebelum pukul 1 tengah hari dengan 400 lagi pada sesi petang,” katanya semasa ditemui wartawan The Malaysia Press di Prorgam Pertukaran topi keledar pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, bagi keseluruhan program tiga hari ini, JPJ menyasarkan pengagihan sebanyak 3,100 topi keledar 2,600 untuk dewasa dan 300 untuk kanak-kanak.
Katanya, topi keledar kanak-kanak diagihkan secara percuma kepada ibu bapa yang menunjukkan MyKid anak masing-masing.
“Untuk topi keledar kanak-kanak, tiada pertukaran diperlukan. Cuma bawa MyKid, tunjuk di kaunter dan kita akan beri kupon untuk tuntutan,” tambahnya.

Sambutan hangat ini turut diraikan oleh warga setempat seperti Kelana Mafak, 54, yang hadir seawal pukul 6 pagi.
“Saya dari Jabatan Penjara Tawau. Terima kasih kepada Kerajaan MADANI dan JPJ yang melancarkan proses pertukaran topi keledar pagi ini.
“Harapan saya, program ini diteruskan bagi memudahkan dan meringankan beban rakyat,” katanya.
Selain itu, Dasilam Jamanuddin, 50-an, dari Semporna turut hadir seawal pukul 6 pagi.
“Terima kasih kepada kerajaan sebab mak cik dapat topi keledar baharu. Kalau beli di luar memang mahal. Di sini tukar saja topi keledar lama terus dapat baharu.
“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kewangan rakyat, malah meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.




