
TAWAU – Sebanyak RM1.5 juta disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi pembangunan usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Sabah, tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pemberian itu disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR).
“Di peringkat Sabah, kita mempunyai lebih 120 usahawan SDSI setakat ini dan kita telah tambah baik program ini dengan memperkenal garis panduan pelaksanaan SDSI 2.0 yang baharu.
“Mudah-mudahan dengan penambahbaikan program ini, antara lainnya kita mahu usahawan-usahawan SDSI di daerah itu ataupun komuniti dapat menubuhkan koperasi,” katanya kepada media selepas merasmikan Showcase SDSI 2.0 Wilayah Borneo di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, pada Sabtu.

Terdahulu semasa berucap, Ewon berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dari tahun 2021 hingga 2025, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM26.3 juta untuk usahawan SDSI.
“Melihat kepada pencapaian itu, KUSKOP akan terus menyokong pelaksanaan program SDSI ini dan KUSKOP telah mengemukakan permohonan peruntukan pembangunan bagi meneruskan pelaksanaan program SDSI di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh 2026-2030.
“Semoga permohonan tersebut diberikan pertimbangan yang sewajarnya daripada Kementerian Ekonomi untuk kelangsungan program komuniti di bawah SDSI,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ewon turut menyentuh kepentingan pendekatan ‘Whole Government Approach’ agar semua kementerian, agensi dan jabatan yang terlibat dalam pembangunan perusahaan negeri bersama-sama menawarkan perkhidmatan terbaik kepada usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Ini termasuklah agensi sama ada di Kerajaan Persekutuan atau negeri yang terlibat memberi pembiayaan, memberi latihan dan bimbingan atau untuk membawa usahawan kita ke ekspo-ekspo antarabangsa yang terlibat tentang persijilan,” katanya.







