Rundingan bersama AS jadikan Malaysia ‘hero’ dunia, kunci perjanjian dagang lebih adil

PUTRAJAYA – Persetujuan Amerika Syarikat (AS) bagi memulakan rundingan tarif timbal balik bersama Malaysia membuktikan negara tidak mudah tunduk kepada tekanan kuasa besar selain mempamerkan pendekatan dasar luar yang seimbang dan strategik.

Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, komitmen Malaysia untuk melakukan perbincangan dua hala meskipun dalam suasana mencabar, mencerminkan komitmen negara terhadap amalan diplomasi matang serta profesional.

Katanya, rundingan tersebut menjadi platform penting untuk Malaysia menyatakan pendiriannya secara terus kepada AS, serta menegaskan bahawa sebarang tindakan yang memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara perlu ditangani melalui dialog terbuka dengan menggunakan saluran diplomatik.

“Gabungan tindakan timbal balas tegas serta kehadiran aktif dalam rundingan bersama AS menunjukkan keseimbangan antara prinsip dan pragmatisme, di mana Malaysia sentiasa bersedia mencari penyelesaian damai melalui perbincangan berasaskan prinsip timbal balik dan saling menghormati.

“Perkara sedemikian menjadikan Malaysia bukan sahaja relevan di mata seantero dunia, tetapi juga dihormati berikutan keberanian dan keupayaan menjaga kepentingan sendiri secara berhemah,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, tindakan timbal balas yang dipertimbangkan bukan sekadar reaksi emosi, tetapi satu mesej strategik bahawa Malaysia mempunyai pendirian berasaskan kepentingan nasional.

Menurut beliau, ia menghantar isyarat bahawa hubungan ekonomi mestilah bersifat adil dan saling menguntungkan, bukannya berat sebelah mahupun menekan rakan dagang yang lebih kecil.

“Namun secara kritikal, Malaysia harus terus menggunakan hasil perjumpaan tersebut untuk membuka ruang rundingan lanjut, khususnya dalam mengenal pasti sektor atau produk yang boleh dikecualikan daripada tarif berat sebelah.

“Pada masa sama, Malaysia juga boleh menggerakkan kerjasama serantau melalui ASEAN atau platform pelbagai hala untuk mendapatkan sokongan lebih luas dalam menolak amalan proteksionisme,” katanya.

Dari sudut keselamatan nasional, Nur Ashikin memaklumkan pendekatan diambil Kerajaan MADANI  memperkukuh konsep keselamatan ekonomi sebagai komponen penting dalam keselamatan menyeluruh negara.

“Dengan bertindak secara strategik dalam forum antarabangsa dan dua hala, Malaysia menunjukkan bahawa ia bersedia melindungi rakyat dan sektor industri tempatan daripada ketidaktentuan pasaran global yang dimanipulasi oleh kuasa besar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng berkata, rundingan diplomatik yang berterusan antara kerajaan Malaysia dan AS boleh membawa kepada perjanjian perdagangan yang adil dan seimbang.

“Perjanjian sebegitu akan memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala Malaysia dan AS, menerusi akses pasaran yang lebih baik dan pengurangan tarif.

“Tiada sebab untuk mencetuskan gelora ekonomi yang besar kepada perniagaan di kedua-dua negara, khususnya bagi sektor dan industri yang mempunyai kehadiran pasaran yang ketara di AS dan sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu, Yih Pyng berpandangan, keperluan buat kerajaan meningkatkan jumlah Geran Pembangunan Pasaran (MDG), yang kini berjumlah RM5,000 untuk pameran atau ekspo antarabangsa yang diadakan di Malaysia dan RM25,000 bagi acara yang dianjurkan di luar negara.

Menurut beliau, pihaknya menyokong usaha untuk memperluas rangkaian perjanjian perdagangan bebas (FTA), termasuk menyambung semula rundingan FTA dengan Korea Selatan dan Kesatuan Eropah (EU).

“Pada ketika banyak negara berdepan isu tembok tarif ini, kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyuarakan kebimbangan bahawa lebih banyak produk daripada rakan dagang Malaysia akan membanjiri pasaran domestik, dan ini akan melemahkan industri tempatan.

“Kemasukan besar-besaran barangan asing sudah pasti akan meningkatkan tekanan persaingan terhadap PMKS tempatan, terutamanya dalam sektor perdagangan, peruncitan, perabot, besi dan keluli, barangan pengguna tahan lama, dan e-dagang, dengan keuntungan sememangnya sudah tipis.

“Oleh itu, ACCCIM mencadangkan pendekatan pelbagai aspek bagi membendung aktiviti penjenamaan semula produk seperti penambahbaikan pemeriksaan dan penguatkuasaan kastam melalui penilaian berasaskan risiko serta pemeriksaan terfokus ke atas sektor atau produk yang mempunyai perbezaan tarif yang ketara,” katanya.

Related Posts

10 tawaran utama bukti kesungguhan PH bangunkan Johor, Haniff seru perantau pulang mengundi

PONTIAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi N.54 Pulai Sebatang, Haniff Hosman menegaskan bahawa 10 Tawaran Utama Johor Untuk Semua merupakan komitmen yang realistik dan menyeluruh bagi memastikan kemajuan negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
JKOM perkasa penyampaian mesej MADANI kepada masyarakat India melalui kerjasama dengan MITRA

PUTRAJAYA – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) akan memperkukuh penyampaian mesej Kerajaan MADANI kepada masyarakat India menerusi kerjasama strategik dengan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), termasuk penghasilan kandungan dalam bahasa…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

10 tawaran utama bukti kesungguhan PH bangunkan Johor, Haniff seru perantau pulang mengundi

10 tawaran utama bukti kesungguhan PH bangunkan Johor, Haniff seru perantau pulang mengundi

JKOM perkasa penyampaian mesej MADANI kepada masyarakat India melalui kerjasama dengan MITRA

JKOM perkasa penyampaian mesej MADANI kepada masyarakat India melalui kerjasama dengan MITRA

BUDI Diesel: Pengguna puji kelancaran sistem MyKad, harap prosedur kuota tambahan dipermudah

BUDI Diesel: Pengguna puji kelancaran sistem MyKad, harap prosedur kuota tambahan dipermudah

Lindung 24 jam bukti keberkesanan, Perkeso bayar lebih RM1.2 juta dalam bulan pertama

Lindung 24 jam bukti keberkesanan, Perkeso bayar lebih RM1.2 juta dalam bulan pertama

10 lelaki ditahan terlibat salah guna dadah

10 lelaki ditahan terlibat salah guna dadah

Tidak wajar lantikan Azam di NFCC dijadikan hukuman awam tanpa keputusan autoriti

Tidak wajar lantikan Azam di NFCC dijadikan hukuman awam tanpa keputusan autoriti