
PUTRAJAYA – Pelantikan wakil rakyat pembangkang ke dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dilihat sebagai usaha daripada Kerajaan MADANI dalam memperkukuh prinsip semak dan imbang dalam tadbir urus negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pelantikan rentas parti wajar dianggap sebagai langkah membina keyakinan awam bahawa agenda membanteras rasuah adalah tanggungjawab bersama, bukan milik satu pihak sahaja.
“MCW percaya bahawa dengan gabungan komitmen politik, penyertaan rentas parti dan pendekatan profesional, JKMR boleh menjadi pemangkin kepada reformasi antirasuah yang lebih berkesan dan dihormati rakyat.
“Langkah itu juga selaras dengan Seksyen 14 Akta SPRM 2009 yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang sebagai anggota jawatankuasa tersebut,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz merupakan antara tiga ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh tiga tahun sehingga 25 April 2028.
Selain Nik Mohamad Abduh, dua individu lain ialah Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan tersebut diyakini dapat memperkukuh usaha kerajaan dalam memerangi rasuah serta meningkatkan integriti dalam pentadbiran negara.
Pas turut menyifatkan lantikan Nik Mohamad Abduh merupakan satu penghormatan besar yang seiring dengan komitmen parti itu dalam memperjuangkan usaha membanteras rasuah di negara ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pelantikan itu menjadi medan kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkenaan memberikan sumbangan bermakna dalam memperkukuh kesedaran awam terhadap bahaya rasuah serta memperjuangkan nilai-nilai integriti dalam masyarakat dan pentadbiran negara.

Dalam pada itu, bagi memastikan JKMR berperanan secara holistik, Jais berpandangan, semua ahli yang dilantik mestilah mempunyai rekod bersih, keupayaan intelektual dan kefahaman tentang dasar antirasuah, bukan hanya berdasarkan kedudukan politik.
Katanya, laporan mesyuarat dan dapatan JKMR juga perlu dibentangkan secara berkala kepada Parlimen dan boleh diakses oleh masyarakat awam, agar peranan mereka tidak menjadi simbolik semata-mata.
“JKMR digalakkan menjalin kerjasama strategik bersama masyarakat sivil, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antirasuah dan institusi akademik, bagi memperkayakan cadangan reformasi dan menjamin bahawa pandangan rakyat turut diangkat.
“Laksanakan latihan integriti dan pemantapan ilmu tadbir urus. MCW mencadangkan agar semua anggota JKMR menjalani sesi orientasi atau kursus khas berkaitan fungsi institusi antirasuah, kaedah pemantauan dasar awam dan prinsip integriti nasional,” katanya.


