
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meyakini hubungan bersama Singapura akan terus berkembang di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Lawrence Wong.
Anwar juga berharap agar hubungan dua hala akan terus berkembang dalam pelbagai aspek, terutamanya apabila Malaysia menyandang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
“Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura akan terus berkembang dengan lebih kukuh, terutamanya ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya di sini, pada Isnin.
Anwar berkata, Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama rapat dengan Lawrence Wong serta pentadbirannya kerana lagi hubungan kedua-dua negara telah terjalin sejak dahulu.
“Malaysia menantikan untuk bekerjasama rapat dengan PM Lawrence dan pentadbirannya dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin, berteraskan sejarah bersama-sama selain kerjasama ekonomi yang erat dan utuh selain hubungan sesama rakyat yang berjiran ini,” ujarnya.
Terdahulu, Anwar menelefon Lawrence Wong dan mengucapkan tahniah atas kemenangan besar Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum Singapura yang menyaksikan parti itu memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen.
Lawrence Wong yang juga Setiausaha Agung PAP mendapat mandat kukuh selepas parti itu mengekalkan majoriti melebihi dua pertiga dengan 65.57 peratus undi.
Ia menyaksikan peningkatan 4.33 peratus berbanding 61.24 peratus dalam keputusan Pilihan Raya 2020.





