Sidang Khas Parlimen bincang isu tarif AS

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sidang khas Parlimen yang akan diadakan pada 5 Mei ini bagi menjelaskan langkah-langkah yang diambil kerajaan berhubung isu kenaikan tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Menurut Anwar, sidang itu membolehkan semua Ahli Parlimen untuk membincangkan kesan tindakan AS terhadap ekonomi negara dan mempertimbangkan langkah untuk mengatasinya.

“Inilah masa untuk semua parti dan semua rakyat fokus ke arah pertumbuhan negara. Angkat martabat negara ini.

“Malaysia ini negara hebat, mampu jadi negara contoh di antara negara terbaik di Asia dengan syarat kita bersatu dan bekerja kuat dengan mengangkat martabat ekonomi kita,” katanya.

Anwar berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 peringkat negeri Perlis yang diadakan di Dataran Lok 9, Kuala Perlis pada Ahad.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Tambah beliau, tindakan AS menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari ketika ini memberi kelegaan untuk memberikan laluan bagi perbincangan lanjut mengenai perkara berkaitan memandangkan kekuatan Malaysia daripada sudut semikonduktor.

Katanya, hubungan Malaysia dan AS perlu kekal terjalin bagi memastikan sebarang perubahan tidak menjejaskan rakyat di negara ini pada masa akan datang.

Namun begitu, Anwar berkata, Malaysia tetap tidak bersetuju dengan tarif yang mahu dikenakan AS kerana ia tidak boleh ditetapkan secara bersendirian oleh negara terbabit.

“Kita boleh tanya adakah Malaysia setuju dengan tarif ini? Kita tidak setuju kerana Malaysia negara dagang dan tidak ada negara waima AS menetapkan sebarang tarif sewenang-wenang secara unilateral.

“Kita terikat dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) secara multilateral kerana kita gabung dengan negara lain, tetapi kita kena terima kenyataan dan tangani isu ini dengan bijaksana,” katanya.

Pada 2 April, Presiden AS Donald Trump mengumumkan beberapa siri tarif timbal balik yang dikenakan ke atas banyak negara, termasuk 24 peratus ke atas barangan yang diimport dari Malaysia, tetapi kemudiannya menggantung langkah itu selama 90 hari.

Related Posts

RSEA gesa reformasi keselamatan jalan raya, saman dan kompaun tidak mencukupi

KUALA LUMPUR – Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (RSEA) menggesa kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam dasar keselamatan jalan raya dengan memberi tumpuan kepada pendidikan, latihan dan peningkatan kompetensi pengguna, berbanding…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kementerian Ekonomi mahu program IPR-INSAN diteruskan

ARAU – Kementerian Ekonomi akan memohon kepada Kementerian Kewangan (MoF) supaya pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) disambung bagi tempoh seterusnya selepas terbukti membantu usahawan B40 menjana pendapatan. Menteri Ekonomi, Akmal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Program Ngiling Bidai perkukuh kerjasama korporat dan komuniti di Telang Usan

Program Ngiling Bidai perkukuh kerjasama korporat dan komuniti di Telang Usan

Onn Hafiz angkat amanah baharu, Johor isytihar cuti peristiwa 13 Julai

Onn Hafiz angkat amanah baharu, Johor isytihar cuti peristiwa 13 Julai

RSEA gesa reformasi keselamatan jalan raya, saman dan kompaun tidak mencukupi

RSEA gesa reformasi keselamatan jalan raya, saman dan kompaun tidak mencukupi

Onn Hafiz sah angkat sumpah Menteri Besar Johor, terajui pentadbiran penggal baharu

Onn Hafiz sah angkat sumpah Menteri Besar Johor, terajui pentadbiran penggal baharu

DBKL: PPR Desa Tun Razak terima RM9.62 juta untuk naik taraf

DBKL: PPR Desa Tun Razak terima RM9.62 juta untuk naik taraf

‘Terima kasih Pulai Sebatang’, Haniff Hosman hargai sokongan pengundi dan tekad terus berbakti

‘Terima kasih Pulai Sebatang’, Haniff Hosman hargai sokongan pengundi dan tekad terus berbakti