TINDAKAN pengulas politik berfahaman konservatif Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly yang secara berterusan mengkritik Malaysia adalah sangat memalukan dan menunjukkan kejahilannya.
Sebelum ini, dia mendakwa rakyat Malaysia tidak mempunyai wang untuk membeli barangan dan seterusnya menggambarkan lawatan Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini sebagai ‘perbuatan yang sia-sia’.
Komen kurang cermat itu kemudiannya mendapat reaksi balas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menerusi satu kenyataan menjelaskan, komen O’Reilly itu menunjukkan pengulas politik terbabit sebagai seorang yang jahil terhadap realiti semasa Asia Tenggara selain mencerminkan pemikiran sempit dipengaruhi sentimen perkauman dan ideologi penjajah.
![]()
Dan seterusnya, semalam O’Reilly sekali lagi tampil menerusi video yang tersebar di platform TikTok dengan angkuh mengatakan rakyat Malaysia bukan sahaja tidak ada wang untuk berurusan dengan China, bahkan tidak mampu membeli makanan.
Dia membandingkan pendapatan perkapita rakyat Malaysia berjumlah AS$5,731 (RM25,061) setahun, manakala rakyat AS pula memperoleh AS$42,220 (RM184,628) setahun.
O’Reilly mendakwa rakyat Malaysia ‘tidak cukup makan’ dengan jumlah pendapatan isi rumah yang sangat sedikit berbanding negaranya.
Mungkin itulah kualiti O’Reilly yang kelihatan amat ‘sekufu’ dengan Presiden AS, Donald Trump.
Kedua-duanya kelihatan sangat kurang bijak dan sering membuat keputusan tidak matang.
Jika ada negara lain menunjukkan kemesraan dengan China, pasti akan menjadi sasaran mereka.
Apabila dia membandingkan perbezaan pendapatan antara rakyat Malaysia dan AS, maknanya kita juga berhak membandingkan apa yang kerajaan Malaysia beri kepada rakyat berbanding apa yang rakyat AS dapat daripada kerajaan mereka.
Kita di Malaysia mempunyai sistem kesihatan yang paling mampu milik dengan kadar bayaran antara RM1 hingga RM5.
Tapi di AS, jika tidak memiliki polisi insurans, kos perubatan adalah di luar jangka dan jauh daripada kemampuan kebanyakan rakyat mereka.
![]()
Pekerja di Malaysia juga dilindungi menerusi skim Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dan begitu juga dengan pekerja gig ekonomi bahkan suri rumah juga menerima perlindungan sama.
Apa pula yang pekerja di AS dapat? Jika ada kesatuan sekerja, tetap memerlukan perlindungan menerusi polisi insurans tertentu.
Itu belum dikira bantuan Skim Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah, Jualan Rahmah dan bermacam lagi – yang sudah tentu tidak ada di AS atau mungkin tidak wujud juga di negara lain.
Jadi, padanlah muka O’Relly apabila sikap angkuh dan sombong Trump mengakibatkan AS berdepan tarif timbal balas yang ‘keras’ dari China.
Dan sejak sehari dua lalu, Trump dilaporkan bakal menyemak semula kadar tarif dikenakan terhadap China – 254 peratus – sebelum ini.
Mungkin dia dan O’Reilly patut bermuhasabah dan sedar diri bahawa AS bukan lagi kuasa besar dagang di dunia.



