PUTRAJAYA – Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan komited berjumlah RM41.4 bilion pada 2024 atau meningkat 11 peratus, berbanding RM37.2 bilion pada 2023, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, nilai tersebut adalah pencapaian tertinggi sejak Iskandar Malaysia diwujudkan.
“Tahun lalu juga, nilai pelaburan direalisasikan mencecah RM26.7 bilion. Pelaburan asing sebanyak RM36.1 bilion dan pelaburan domestik sebanyak RM5.3 bilion.
“Hatta, pencapaian ini membuktikan bahawa keyakinan pelabur terhadap Iskandar Malaysia terus meningkat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat ke-34 Ahli Pihak Berkuasa, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) semalam.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan persediaan koridor ekonomi – seperti Iskandar Malaysia – dalam mengharungi keadaan ekonomi dan perdagangan dunia yang kian mencabar dan tidak menentu.

