
KAUM India di Ayer Kuning akan mengundi Dr Ustaz Yusri Bakir sekali gus memenangkan calon Barisan Nasional (BN) itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.
Keyakinan itu disuarakan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang berkata, jentera BN giat mendekati pengundi India yang masih berada dalam kategori pengundi kelabu dan luar dalam tempoh berbaki dua hari menjelang hari pengundian.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata, hasil siri kempen yang dijalankan MIC sejak 12 April lalu, pihaknya telah mengenal pasti daripada lebih 3,000 pengundi India, 2,600 merupakan sebagai pengundi putih.
“Saya 100 peratus pasti BN akan menang. Cuma bezanya majoriti bergantung pada peratusan pengundi keluar mengundi.
“Kita memberi jaminan kepada warga Tapah bahawa BN akan menang di Ayer Kuning,” katanya.
Beliau ditemui media ketika berkempen di Kampung Baru Ayer Kuning, hari ini.
Pada masa sama, Saravanan secara sinis menyeru pengundi luar kaum India yang mengundi BN sahaja untuk pulang ke Ayer Kuning bagi menunaikan tanggungjawab pada PRK ini.
“Saya nak ucap berbeza sedikit. Semua pengundi putih keluar mengundi, yang semua pengundi putih itu memang ramai sokong BN.
“Pengundi India ini tahu siapa yang membantu mereka selama ini,” katanya.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru, Ustaz Yusri akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).





