
KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup spesies haiwan terancam yang dipercayai untuk dijadikan makanan eksotik ke negara jiran dalam satu operasi khas awal pagi Selasa.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kejayaan itu hasil risikan Unit Perisikan Maritim Malaysia yang mengesan aktiviti mencurigakan di perairan Selat Malawali sekitar pukul 2 pagi.
“Bertindak atas maklumat tersebut, Bot Peronda KILAT 48 digerakkan ke lokasi dan mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap kira-kira 1.8 batu nautika dari barat laut Tanjung Layang-layang, Pitas.
“Pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati tiada individu berada di atasnya, namun pemeriksaan lanjut menemui barangan yang mengejutkan termasuk 20 kotak polisterin berisi Kima beku seberat 500 kilogram, lapan guni Kima kering seberat lebih 200 kilogram serta lima kotak polisterin mengandungi tenggiling beku seberat kira-kira 100 kilogram.
“Kesemua hasil rampasan itu dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran yang mempunyai permintaan tinggi terhadap makanan eksotik dan produk haiwan liar yang dilarang.
“Bot bersama muatan bernilai lebih RM100,000 itu telah dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kes disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Perikanan 1985 kerana melibatkan cubaan penyeludupan spesies terancam serta pengendalian hasil laut tanpa kebenaran.
Maritim Malaysia menyeru orang ramai, khususnya komuniti maritim, untuk menyalurkan maklumat berkenaan sebarang aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim menerusi talian Pusat Operasi Kudat di 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.







