
SANDAKAN – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting memasang sebanyak 20 unit lampu solar di sepanjang Jalan Pintas Indah Sibuga menuju ke Jalan Cecily, dalam usaha menerangi Karamunting.
Menurut ADUN Karamunting, George Hiew Vun Zin, pemasangan lampu tersebut adalah langkah segera bagi menangani keadaan jalan yang gelap pada waktu malam dan berisiko kepada pemandu serta pejalan kaki.
“Jalan ni memang gelap bila malam serta bahaya untuk pemandu jalan raya dan pejalan kaki.
“Lampu solar ni jadi pilihan terbaik buat masa ni jimat kos, tak perlu elektrik dan paling penting, boleh terus berfungsi walaupun menghadapi gangguan bekalan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu merealisasikan inisiatif tersebut, serta mengajak masyarakat setempat untuk bersama-sama menjaga kemudahan awam demi kesejahteraan bersama.
“Kita sama-sama jaga Karamunting, biar terang, biar selamat,” katanya.






