
LAHAD DATU – ESSCOM sentiasa memperkukuh bekerjasama padu bersama rakan strategik memastikan keselamatan Pantai Timur Sabah terus terpelihara selain berharap kekal sifar kes penculikan.
Komandernya, Deputi Komisioner (DCP) Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang dikoordinasikan ESSCOM termasuk bersama agensi lain kerap dilaksana bagi mengumpul maklumat sekiranya terdapat maklumat pencerobohan dan penculikan untuk wang tebusan.
“Kes penculikan terakhir 15 Januari 2020 dan sinergi antara pasukan keselamatan serta Jabatan Persekutuan serta Negeri dapat disemarakkan dengan tujuan mempertahankan kedaulatan Sabah Timur ini.
“Ketika ini tiada maklumat cubaan culik, harap keadaan kekal selamat, bagaimanapun sekiranya ada maklumat, ESSCOM dan rakan strategik lain berusaha mengekang di peringkat awal supaya ia tidak berlaku,” katanya kepada media pada Sambutan Ulang Tahun ESSCOM ke-12 di sini pada Isnin.

Jelas Victor, ESSCOM sepanjang tahun lalu termasuk awal tahun ini telah membuat lebih 1.3 juta pemeriksaan secara fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot di Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone).
Katanya, pemeriksaan itu bertujuan meningkatkan kepercayaan dan kenyakinan kepada komuniti di ESSzone terhadap keselamatan yang menjadi keutamaan ESSCOM.

