
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menumpukan kerangka hala tuju strategik pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun di bawah Rancangan Malaysia (RMK) Ke-13.
Kerajaan Sabah kini memberi tumpuan kepada bidang-bidang keutamaan yang menjadi tonggak pembangunan ekonomi negeri melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, menggesa agar semua bertindak secara proaktif dalam merancang pembangunan negeri ini.
“Saya menggesa agar semua kementerian, jabatan dan agensi negeri mengambil langkah proaktif untuk merancang pembangunan yang selaras dengan hala tuju yang telah ditetapkan ini.
“Ia bagi memastikan keperluan sebenar negeri Sabah diberikan keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan dasar kerajaan sempena Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri perlu memfokuskan pelaksanaan program pembangunan di bawah RMK-13 selaras dengan usaha mempertingkatkan pengurusan kewangan negeri.
“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan hala tuju strategik pembangunan negeri melalui RMK13, Kerajaan Negeri akan memfokuskan pelaksanaan program dan projek yang berorientasikan kepada perbelanjaan pembangunan.
“Ianya selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan pengurusan kewangan negeri yang teratur serta meningkatkan perbelanjaan pembangunan berbanding dengan perbelanjaan mengurus.
“Dengan usaha ini, pencapaian matlamat pembangunan ekonomi negeri akan dapat dipercepatkan,” ujarnya.
Jelasnya, beliau berkeyakinan bahawa Kerajaan Negeri Sabah dan semua pihak dapat bekerjasama dalam pelaksanaan hala tuju RMK13.
“Saya yakin dengan kerjasama penuh daripada semua pihak, proses penyediaan RMK13 akan dapat berjalan dengan lancar dan teratur.
“Ia mengambil kira pelbagai perspektif dan keperluan, seterusnya meletakkan asas yang kukuh untuk pembangunan negeri Sabah yang mampan dan inklusif,” ujarnya.







