Benih petai dan nangka sudah bercambah

TIDAK mengambil masa yang lama, kelihatan benih petai dan nangka sudah bercambah.

Pun begitu, yang bercambah itu bukannya tumbuh-tumbuhan sebaliknya air minuman botol plastik dan tisu bungkusan kecil.

Aneh?

Tidak! Ibarat lalang dan semak-samun, perkara yang tidak bermanfaat cepat sahaja membiak.

Kesemuanya gara-gara ‘keberanian melampau’ sesetengah ahli masyarakat kita melawan peraturan dan tidak mahu faham kepentingan peraturan dipatuhi.

Itu dapat dilihat dengan jelas melalui satu video yang tular; kisah seorang ‘peniaga jalanan’ mengamuk ke atas beberapa kakitangan penguat kuasa, jika tidak silap, melibatkan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

Yang jelas kelihatan, kakitangan DBKL itu cukup sabar dan langsung tidak membalas amuk lelaki berkenaan sekali pun berdepan provokasi seorang wanita agar insiden itu disebarkan secara meluas.

Seperti biasa, sebahagia netizen menyokong sang amuk; mengecam penguat kuasa; mencerca kerajaan, khususnya Perdana Menteri Kesepuluh (PMX).

Modal mereka, penguatkuasaan ke atas pendatang asing yang berniaga secara haram tidak dilaksanakan.

Benarkah apa-apa yang dituduh itu berlaku? Bukankah DBKL kerap turun padang dan menggempur pendatang asing, cuma, apabila penguat kuasa beredar, sebahagian pendatang asing kembali beroperasi.

Benarkah penguat kuasa hanya bertindak ke atas warganegara, terutamanya Melayu?

Realitinya tidak begitu!

Yang terkait dengan tindakan penguatkuasaan itu hanya sebilangan kecil peniaga jalanan. Masih ramai warganegara kita yang berniaga begitu tidak pun diusik.

Yang penting, adab dan budi bicara peniaga jalanan itu sendiri!

Kalau mereka tidak mempamerkan adab, memang sukarlah urusannya, apatah lagi jika penguat kuasa itu diherdik, dimaki, dituduh itu dan ini, sehingga membabitkan hal yang jauh ke dalam – politik, umpamanya.

Kalau sampai terbit kata-kata seperti berlaku dalam kes Mak Cik Nangka di Pahang – menghina penguat kuasa, sedangkan diri sendiri jelas melanggar peraturan, apakah mudah diberikan budi bicara?

Sekiranya penguat kuasa menerima aduan pekedai yang kawasan muka pintu premisnya menjadi tempat berniaga petai seperti yang berlaku di Negeri Sembilan, kemudian bergegas menangani kes itu, tetapi dibalas dengan tindakan membuang petai itu, bolehkan terzahir lagi sejalur budi bicara.

Ingat, penguat kuasa juga manusia, namun dalam kedua-dua kes itu, sikap penguat kuasa sangat terpuji – tidak terpancing oleh provokasi si peniaga.

Itu jugalah yang berlaku dalam kes terbaharu – amukan si peniaga air minuman dalam botol plastik dan tisu kecil.

Syabas dan tabik hormat, penguat kuasa berkenaan dan penguat kuasa yang lain, tapi bersedialah dengan kemungkinan lain selepas ini.

Sedarlah kalian bahawa ‘benih petai dan nangka sudah bercambah’.

Percayalah, keadaan ini akan berterusan kerana ada pihak sedang seronok mengikuti perkembangan ini.

Related Posts

Perlu dibaca

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat