
LOS ANGELES – Sebuah pesawat United Airlines yang berlepas dari Amerika Syarikat (AS) menuju ke China terpaksa berpatah balik selepas juruterbangnya terlupa membawa pasport.
Penerbangan UA198 yang membawa 257 penumpang dan 13 kru itu dalam perjalanan dari Los Angeles (LA) ke Shanghai yang mengambil masa selama hampir 14 jam pada Sabtu lalu.
Perkara itu turut disahkan oleh United Airlines bahawa situasi terbabit menyebabkan pesawat tersebut terpaksa membuat pusingan U dan menuju semula ke San Francisco
Jurucakap United Airlines memaklumkan Boeing 787-9 tersebut kembali dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco setelah melakukan penerbangan selama hampir dua jam.
“Kami mengatur kru baharu untuk menerbangkan pelanggan ke destinasi mereka pada malam itu selain penumpang menerima baucar makanan dan pampasan, walaupun jumlah pampasan tidak dinyatakan,” katanya memetik laporan The Guardian.
Data penjejakan penerbangan menunjukkan bahawa pesawat itu akhirnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai, selepas tengah malam, lewat enam jam daripada waktu ketibaan asal.
Insiden ini berlaku ketika pelancong di seluruh dunia masih menghadapi gangguan perjalanan akibat penutupan Lapangan Terbang Heathrow di London, hab perjalanan paling sibuk di Eropah, yang disebabkan oleh gangguan bekalan elektrik sehari sebelumnya.
Data Flightradar24 juga menunjukkan UA198 terbang keluar dari LA merentasi Lautan Pasifik sebelum berpatah balik ke California.
Salah seorang penumpang, Paramjot Singh Kalra menerusi platform X menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap insiden itu.
“Gara-gara juruterbang tertinggal pasport kami terkandas selama lebih enam jam. Hal ini sememangnya tidak boleh diterima.
“@united (United Airlines) pampasan apa yang anda boleh tawarkan atas kegagalan pengendalian ini?” menurut catatannya.
Kesemua penumpang diberikan baucar makanan dan ganti rugi serta diterbangkan ke destinasi, kira-kira enam jam lebih lewat daripada jadual asal.







