
KOTA KINABALU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan waris kepada seorang wanita warga emas yang merupakan kes rujukan pengabaian warga emas daripada Balai Polis Alam Mesra.
Pejabat Kebajikan, Bahagian Kota Kinabalu dalam kenyataannya menyatakan, warga emas tersebut dikenali sebagai Melor Adabi, 70, berasal dari Sabah yang lama menetap di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan itu, semakan Jabatan Pendaftaran Negara mendapati klien mempunyai anak perempuan, Sunarti Ngadiman yang gagal dihubungi dan tidak dapat ditemukan lokasi tempat tinggalnya.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa warga emas terbabit sebelum ini dirawat di Hospital Queen II, Kota Kinabalu namun sepanjang rawatan, klien tidak dilawat oleh sesiapa dan setelah dibenarkan keluar beliau tidak dituntut oleh mana-mana ahli keluarga.
“Perkara itu menyebabkan pihak hospital terpaksa menyerahkan klien kepada pihak polis iaitu Balai Polis Alam Mesra bagi mengesan waris.
“Kes seterusnya dirujuk kepada pihak kebajikan untuk urusan penempatan sementara dan mengesan waris seterusnya,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Tambah kenyataan tersebut, pihak JKM juga telah cuba menghubungi waris yang dinyatakan oleh klien iaitu anak lelaki yang bernama Jamal (Gamal) dan Jamil namun kedua-duanya juga gagal dihubungi melalui nombor telefon bimbit yang diberikan klien.
Sehubungan itu, Pejabat Kebajikan Kota Kinabalu memohon agar orang ramai yang mengenali warga emas ini bagi menghubungi Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Rita Robert Rawantas, di talian 088-269821 atau emel kepada rita.robert@jkm.gov.my.


