
SEMUA pihak termasuk ahli politik dan orang ramai diseru supaya berhenti menghasut dan mengaitkan agama dan kaum dalam setiap isu atau perkara yang berlaku di negara ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, itu termasuk isu berkenaan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman yang terletak di Jalan Masjid India yang menjadi tumpuan ketika ini.
“Saya pernah sebutkan sebelum ini, kita mesti hentikan politik kaum ini, menghasut, menggunakan agama kerana ia tidak sihat untuk masyarakat. Ini bukan contoh yang kita mahu tunjukkan untuk generasi akan datang.
“Bagi saya, sudah tentu ini isu yang sensitif, tetapi apa yang paling semua orang harus berhenti menggunakan kaum dan agama dalam semua perkara,” katanya ketika ditemui pada program Jualan MADANI Raya di Subang Bestari, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang membuat rundingan dan mencari penyelesaian yang terbaik berhubung isu kuil berkenaan.
“Ketika ini kita juga berdepan situasi sukar kerana tanah itu merupakan tanah persendirian seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.
“Jadi, ketika ini kita sedang membuat rundingan bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik berhubung isu ini,” katanya.
Terdahulu, Anwar mahu isu berkenaan kuil tersebut dapat diselesaikan secara matang dan harmoni serta memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan meroboh mana-mana kuil atau tempat ibadat di Malaysia.
Perdana Menteri juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan mahu menjadi jaguh berhubung isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman di Jalan Masjid India.
Beliau berkata, pihak berkaitan sedang berunding dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Masalahnya ada penunggang agama, termasuk peguam yang tidak pernah terbabit dalam kegiatan agama Hindu, terus menjadi jaguh dan membuat kenyataan umpamanya nak merobohkan (kuil berkenaan).
“Saya tidak boleh bayangkan saya sebagai Perdana Menteri merobohkan mana-mana kuil ataupun kegiatan agama orang lain,” katanya.




