
MIRI – Sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk diagihkan kepada masyarkat sekitar dengan pengagihan utama berlangsung di Stesen Minyak Petronas Jalan Bintang dan Lutong sekitar jam 4 petang.
Agihan bubur lambuk itu adalah anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dengan kerjasama Taskforce SWO4 bagi kawasan Miri, Bintulu, Limbang, Marudi dan Lawas.
Ketua BBP Lutong, Henry Jugah berkata, bubur lambuk tersebut dimasak secara bergotong-royong dengan kerjasama kakitangan Petronas sejak pagi tadi sebelum diagihkan kepada masyarkat sekitar.
Katanya, agihan bubur lambuk turut dihantar di agensi kerajaan, syarikat swasta, NGO serta rumah ibadat termasuk Balai Polis Lutong, Pejabat Pos Lutong, Kelab Shell Lutong dah beberapa kawasan di sekitar Lutong.
“Program ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan JBPM dengan masyarakat, malah memperkenalkan Balai Bomba dan Penyelamat Lutong kepada komuniti setempat,” tambahnya.
Program yang berlangsung tersebut turut mendapat sokongan daripada Petronas Jalan Bintang serta Petronas Stesen Minyak Lutong.
Program bubur lambuk ini merupakan yang pertama kali dianjurkan oleh BBP Lutong dengan kerjasama pelbagai pihak dan diharap dapat memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat melalui program seumpama ini.





