
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kabinet meneliti semula secara menyeluruh cadangan mengehadkan tempoh jawatan PM kepada maksimum 10 tahun, walaupun perkara itu masih di peringkat awal.
Menteri Komunikasi yang juga merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Anwar hari ini.
“Hal ini ada dibincangkan, tapi masih di peringkat awal memandangkan ia adalah proses yang rumit, kompleks dan perlu ada pertimbangan termasuk di peringkat negeri.
“Sebarang perkara yang terus ke arah pindaan Perlembagaan (Persekutuan) adalah perkara yang perlu diberi pertimbangan yang cukup mendalam, maka Perdana Menteri minta supaya hal ini diteliti dan dikaji secara keseluruhan,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya.
Pada 16 Mac lalu, Anwar berucap ketika Kongres DAP ke-18 berkata, Kerajaan memegang janji melaksana agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Beliau berkata, proses itu perlu dilaksana dengan rapi dan memerlukan konsensus semua parti serta dua pertiga Ahli Parlimen.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh dua tahun bagi cadangan berkenaan.
Ujar Loke, perkara itu antara janji terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.






